Pelaburan, pembinaan projek SOGIP masih dalam peringkat kajian

Pelaburan, pembinaan projek SOGIP masih dalam peringkat kajian

Kota Kinabalu: Permohonan yang dihantar bagi membina projek di Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang (SOGIP) masih dalam peringkat kajian dan perlu diperhalusi oleh Ahli Lembaga Pengarah SOGIP.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor memaklumkan bahawa ada beberapa syarikat termasuk Petronas yang berminat untuk melabur di kawasan SOGP.

“Petronas mencadangkan untuk membina pelantar untuk loji gas asli cecair. Ini disertai dengan beberapa syarikat yang lain sekarang ini.

“Belum pun ada satu modul cadangan perniagaan yang diberikan kepada kerajaan, baru di peringkat cadangan dan pihak Ahli Lembaga Pengarah SOGIP telah memutuskan untuk secara prinsipnya meluluskan untuk syarikat-syarikat ini termasuk Petronas untik melabur atau membina projek di SOGIP.

“Kita telah menerima permohonan daripada beberapa syarikat dan semua cadangan ini masih lagi dikaji dan diperhalusi oleh lembaga pengarah dan pengurusan SOGIP,” katanya ketika menjawab soalan tambahan daripada Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (Warisan-Senallang), di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, hari ini.

Dalam soaalan tambahan itu, Mohd Shafie meminta kerjasama kerajaan untuk mendedahkan maklumat secara terperinci berkaitan perjanjian yang dimeterai dengan Petronas bagi membangunkan projek SOGIP

Sehubungan itu, Hajiji yang juga Menteri Kewangan berkata, belum ada sebarang perjanjian atau perjanjian persefahaman (MoU) ditandatangani kerajaan ketika ini.

Sementara itu, ketika menjawab soalan lisan, Hajiji berkata, SOGIP dijangka akan menerima pelaburan baharu melibatkan Projek ZLNG oleh PETRONAS, penapisan minyak kelapa sawit bersepadu, pembuatan produk logam silicon, pemprosesan kitar semula teknologi hijau e-waste, kemudahan rawatan sisa perindustrian (industrial waste treatment facility) dan perkhidmatan marin.

“Sekiranya pelaburan-pelaburan ini direalisasikan kelak, negeri Sabah dijangka akan menerima jumlah pelaburan langsung yang dianggarkan lebih kurang RM25 bilion,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|