Sidang DUN Sabah: Teluk Darvel bakal diwartakan pada 2023

Sidang DUN Sabah: Teluk Darvel bakal diwartakan pada 2023

Kota Kinabalu: Teluk Darvel dijangka akan diwartakan sebagai taman perlindungan marin pada 2023 selepas melalui pelbagai proses untuk tujuan pewartaan itu.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Jafry Ariffin berkata, ketika ini pihaknya sedang giat mengumpul maklumat untuk persediaan konsultasi dan membangunkan pelan pengurusan.

“Untuk tujuan ini, kita sedang turun padang menjalankan kajian sosiologi ke kampung-kampung untuk mendekati komuniti.

“Satu ekspedisi saintifik susulan dirancang dan akan dilaksanakan pada awal tahun depan. Konsep pelan pengurusan dijangka akan dihasilkan untuk dibincangkan dengan pihak berkepentingan, termasuk pengusaha pelancongan di kawasan ini,” katanya bagi menjawab soalan tambahan daripada Datuk Seri Yong Teck Lee (SAPP-Adun Dilantik), pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, di sini, hari ini.

Teck Lee dalam soalan tambahannya bertanya bila Teluk Darvel akan dilaksanakan dijadikan sebagai TTS.

Jafry dalam pada itu berkata, TTS kini sedang menyediakan pelan cadangan sempadan warta bersama penyediaan borang permohonan tanah untuk dikemukakan kepada Jabatan Tanah dan Ukur (JTU).

“Ini adalah untuk persediaan ke proses niat warta yg dijangka boleh dibuat pada hujung tahun hadapan dan akan mengambil masa enam bulan untuk proses konsultasi awam atau pendengaran awam oleh pihak Pejabat Pemungut Hasil Tanah (PPHT) sebelum diputuskan untuk pewartaan pada tahun 2023.

“Kelancaran proses warta terjejas sedikit sebanyak akibat PKP Covid-19 sepanjang tahun ini,” katanya.

Sebelum itu, beliau memaklumkan taman cadangan Teluk Darvel adalah seluas 117,000 hektar iaitu kira-kira dua kali ganda Pulau Singapura.

Sementara itu, menjawab soalan yang dikemukakan Teck Lee sebelum ini, Jafry memaklumkan bahawa terdapat enam Taman Marin di Sabah yang telah diwartakan di bawah Enakmen Taman-Taman 1984 di bawah kategori dua dan kategori enam mengikut Persekutuan Antarabangsa Pemuliharaan Alam Semulajadi.

“Empat taman iaitu Taman Tunku Abdul Rahman, Taman Pulau Tiga, Taman Pulau Penyu dan Taman Pulau Sipadan adalah merupakan taman marin di bawah kategori dua mengikut IUCN, di mana taman ini adalah Taman Marin yang dilindungi sepenuhnya.

“Manakala, dua lagi taman marin iaitu Taman Marin Tun Sakaran dan Taman Marin Tun Mustapha adalah terletak di bawah kategori enam yang membenarkan penangkapan hasil laut secara tradisi yang mesra alam seperti memancing (hook and line), memukat dan memasang bubu di dalam Zon Kegunaan Komuniti (ZKK) yang telah ditetapkan dalam pelan pengurusan taman marin,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|