Papar: Sebuah kekeluarga hilang tempat tinggal selepas rumah Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) milik mereka terbakar dalam kejadian di Kampung Melugus, di sini, awal pagi tadi.
Dalam kejadian jam 1.30 pagi itu, rumah yang berkeluasan 55 meter persegi itu dilaporkan musnah sepenuhnya.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Papar Roslie Jun berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 1.40 pagi.
Katanya, susulan laporan itu, sepasukan lapan anggota dan pegawai bersama sebuah jentera dikerah ke lokasi kejadian.

“Setibanya di lokasi, operasi pemadaman menggunakan satu aliran sepanjang 66 meter dari dua pancutan sumber air dari jentera dan pili bomba berhampiran terus dijalankan.
“Api berjaya dikawal pada jam 2.06 pagi bagi mengawal api daripada terus merebak ke kawasan berhampiran,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Roslie berkata, api kebakaran berjaya dikawal tanpa melibatkan sebarang mangsa kecederaan dan kematian.
Katanya, pasukan bomba terus melakukan pemeriksaan akhir sekitar kawasan bagi memastikan tiada kemerbahayaan lain sebelum operasi tamat pada jam 2.42 pagi,” katanya.
-Deasoka