Sidang DUN Sabah: Sedut sampah, pasir punca pam air rosak – Bung Moktar

Sidang DUN Sabah: Sedut sampah, pasir punca pam air rosak – Bung Moktar

Kota Kinabalu: Loji rawatan air (LRA) di Sabah berdepan masalah kerosakan pam akibat tersedut sampah dan pasir yang dibawa arus sungai.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Bung Moktar Radin, berkata ia antara punca gangguan bekalan air sering dialami pengguna di negeri ini.

Beliau berkata, pembaikan pam yang rosak pula memakan masa kerana perlu menunggu pam baharu atau alat ganti dari luar negara.

“Di seluruh Sabah, pam air selalu rosak sebab ia sensitif kerana tersedut pasir, sampah dan bermacam lagi. Kalau rosak, ia bukan seperti mesin lain boleh dibawa ke bengkel untuk dibaiki.

“Kita kena tempah dari luar negara, kena ‘hand made’, jadi ia mengambil masa yang lama sebelum pam di sesuatu LRA dapat dipulihkan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi soal jawab Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, di sini, hari ini.

Menteri Kerja Raya negeri itu menjawab soalan tambahan Calvin Chong Ket Kiun (DAP – Elopura) mengenai gangguan bekalan air di Sandakan.

Bung Moktar berkata, sebagai penyelesaian kepada masalah itu, Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) sudah diarah supaya menyediakan pam tunggu sedia di semua LRA untuk kegunaan kecemasan jika berlaku kerosakan terhadap pam air sedia ada.

“Kita mesti ada pam ‘standby’ (tunggu sedia) untuk dioperasikan sementara menunggu pam yang rosak selesai dibaiki supaya gangguan bekalan air dapat dikurangkan,” katanya.

Tambahnya, isu gangguan bekalan air bukan saja berlaku di Sandakan, malah di seluruh negeri, kebanyakannya disebabkan masalah pam rosak.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|