CCA dengan PETRONAS bakal lonjak ekonomi Sabah

CCA dengan PETRONAS bakal lonjak ekonomi Sabah

Kota Kinabalu: Perjanjian Kerjasama Komersial (CCA) di antara kerajaan negeri dan PETRONAS, semalam dijangka melonjakkan lagi ekonomi Sabah berikutan banyak perniagaan baharu dapat diusahakan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata perjanjian itu membuka lebih banyak peluang perniagaan dalam bidang minyak dan gas yang secara tidak langsung membantu merancakkan ekonomi negeri.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor ketika ditemui pemberita pada majlis tahlil 100 hari arwah Tun Sakaran Dandai. Pix ihsan Facebook Ahmad Marzuki Nasir

“Sudah semestinya pemeteraian CCA ini melonjakkan ekonomi kita kerana lebih ramai peniaga dan banyak peluang untuk menambah pendapatan selain cukai kepada negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada majlis tahlil 100 hari pemergian bekas Yang di-Pertua Negeri Sabah, Allahyarham Tun Sakaran Dandai, di sini, malam tadi.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor (kiri) bersama Datuk Seri Nasir Sakaran (tengah) pada majlis tahlil 100 hari arwah Tun Sakaran Dandai. Pix ihsan Facebook Ahmad Marzuki Nasir

Turut hadir Menteri Tugas-Tugas Khas, Datuk Mohd Ariffin Arif.

Semalam, kerajaan Sabah dan PETRONAS menandatangani CCA yang menjadi titik bersejarah kepada negeri ini.

Pemeteraian CCA itu turut menyaksikan penubuhan syarikat minyak dan gas milik penuh Sabah, SMJ Petroleum Sdn Bhd.

Perjanjian berkenaan ditandatangani Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Seri Safar Untong selaku wakil kerajaan negeri, manakala PETRONAS diwakili Presiden yang juga Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz.

Hajiji yang juga Menteri Kewangan negeri, berkata pemeterian CCA itu juga adalah hasil daripada usaha kerajaan negeri supaya Sabah diberi lebih banyak peluang dalam industri minyak dan gas.

“Ini sesuatu yang sudah lama dinantikan oleh rakyat Sabah kerana dengan perjanjian ini maka peluang bagi syarikat minyak dan gas di Sabah menceburi perniagaan ini dengan kerjasama PETRONAS akan lebih luas.

“Sememangnya ini adalah usaha kita supaya PETRONAS memberi lebih banyak peluang kepada kita di Sabah dalam industri minyak dan gas,” katanya.

Mengenai majlis tahlil untuk arwah Tun Sakaran malam tadi, Hajiji berkata rakyat Sabah akan mengenangnya sebagai seorang pemimpin yang banyak berjasa kepada negeri dan negara.

“Saya bersyukur dapat hadir dalam majlis doa untuk arwah kepada Allahyarham Tun Sakaran. Saya rasa seluruh rakyat Sabah akan mengenang beliau sebagai pemimpin yang banyak berjasa kepada negeri dan negara kerana beliau juga pernah berkhidmat di persekutuan. Kita doakan agar rohnya dicucuri rahmat oleh Allah SWT,” katanya.

Tun Sakaran meninggal dunia pada usia 91 tahun pada 30 Ogos lalu selepas kira-kira dua minggu dimasukkan ke hospital kerana jangkitan COVID-19 dan dikebumikan di Makam Pahlawan, Masjid Negeri Sabah di Sembulan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|