Sidang DUN Sabah: Sabah disaran fokus tiga inisiatif gandakan pertumbuhan ekonomi

Sidang DUN Sabah: Sabah disaran fokus tiga inisiatif gandakan pertumbuhan ekonomi

Kota Kinabalu: Kerajaan negeri disaran untuk memberi fokus kepada tiga inisiatif bagi menggandakan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) bagi tahun hadapan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Usukan, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata, kerajaan perlu memberi tumpuan kepada usaha menarik lebih banyak pelaburan berimpak tinggi menerusi pelbagai strategi pelaburan termasuk dasar inisiatif ketika negara berdepan pandemik Covid-19.

Katanya, langkah seterusnya ialah mentransformasikan ekonomi negeri ini kepada yang lebih kompetitif.

“Bagi mencapai tujuan ini, kerajaan perlu meningkatkan tahap produktiviti, memajukan lagi industri hiliran selain mewujudkan industri baharu yang melibatkan penyertaan aktif sektor swasta.

“Misalnya dalam bidang pertanian, kita perlu meningkatkan kualiti dan kuantiti produk makanan hiliran untuk memenuhi permintaan domestik dan pasaran ekspot ,” katanya ketika membahaskan Belanjawan 2022 Sabah di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, di sini, hari ini.

Salleh yang juga bekas Ketua Menteri Sabah turut menekan pentingnya kerajaan memudahkan kemasukan pelaburan.

“Pihak kerajaan perlu cekap untuk memudahkan kemasukan pelaburan dan memastikan kos menjalankan perniagaan atau ‘cost of doing business’ adalah berdaya saing dan lebih menarik berbanding tempat lain di rantau ini,” katanya.

Sehubungan itu, beliau juga menekankan kepentingan autonomi ekonomi untuk Sabah.

“Semua aspek keputusan berkaitan pematuhan undang-undang, dasar pelaburan, kelulusan pelaburan, promosi pelaburan dan promosi eksport seharusnya boleh dibuat di peringkat kerajaan negeri,” katanya.

Menurutnya lagi, pendekatan itu berupaya meningkatkan kecekapan pengurusan dan menyokong aktiviti pelaburan dan eksport.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|