Covid-19 Sabah: Kes naik semula hari ini

Covid-19 Sabah: Kes naik semula hari ini

Kota Kinabalu: Jumlah kes harian Covid-19 di Sabah kembali naik hari ini dengan 307 kes, meningkat sebanyak 36 kes berbanding 271 kes yang dilaporkan semalam.

Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata daerah Kota Kinabalu juga kembali menjadi penyumbang utama kes harian di Sabah dengan 47 kes, naik sembilan kes berbanding semalam.

“Daerah Penampang pula mencatat 37 kes baharu iaitu bertambah 18 kes, Ranau naik 12 kes dan Papar bertambah 11 kes.

“Tuaran pula turun 11 kes dan Putatan susut 22 kes. Lima daerah iaitu Kalabakan, Nabawan, Kunak, Kinabatangan dan Semporna tidak mencatat sebarang kes baharu,” katanya dalam kenyataan petang ini.

Masidi sekali lagi mengingatkan semua lapisan masyarakat agar mematuhi semua prosedur operasi standard (SOP) dan nasihat Kementerian Kesihatan (KKM) tidak kira sudah menerima vaksin lengkap atau sebaliknya.

“Ini lebih-lebih lagi pada hujung tahun di mana ramai keluarga bercuti atau membeli-belah di tempat yang lazim dikunjungi ramai.

“Risiko jangkitan Covid-19 secara sporadik di tempat sesak amat tinggi dan ini dibuktikan dengan peratusan kes sporadik hari ini yang mencecah hampir 44 peratus.

“Hari ini juga hampir 75 peratus kes baharu adalah dalam kalangan mereka yang sudah lengkap divaksin,” katanya.

Daripada 307 kes hari ini, katanya sebanyak 295 pesakit berada dalam Kategori 1 dan Kategori 2, dua pesakit dalam Kategori 3, empat orang dalam Kategori 4 dan dua orang dalam Kategori 5.

Statistik Covid-19 Sabah mengikut daerah:

Covid Update 7 Disember 2021
Sabah 307 ( 271)
Malaysia 4,965 (4,262)

Kota Kinabalu 47 ( 38)
Penampang 37 (19)
Tuaran 34 (43)
Papar 26 (15)
Ranau 20 (8)
Beaufort 17 (17)
Kota Belud 17 (23)
Keningau 16 (14)
Tenom 12 (6)
Kuala Penyu 11 (3)
Kota Marudu 11 (7)
Putatan 11 (33)
Pitas 10 (4)
Sandakan 6 (1)
Kudat 6 (9)
Tambunan 4 (11)
Lahad Datu 4 (1)
Sipitang 4 (6)
Tongod 4 (0)
Tawau 4 (10)
Beluran 3 (2)
Telupid 3 (1)
Semporna 0 (0)
Kinabatangan 0 (0)
Kunak 0 (0)
Nabawan 0 (0)
Kalabakan 0 (0)

Angka dalam kurungan adalah jumlah kes pada 6 Disember 2021

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|