Kerajaan negeri terima dividen RM113. 3 juta

Kerajaan negeri terima dividen RM113. 3 juta

Kota Kinabalu: Kerajaan negeri menerima dividen berjumlah RM113,266,306,35 daripada 12 badan berkanun dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri bagi tahun 2021.

Jumlah itu menunjukkan peningkatan 12.92 peratus berbanding pada tahun lalu.

Daripada jumlah berkenaan, badan berkanun menyumbang RM20,243,636, masing-masing RM2,743,636 dibayar Lembaga Pelabuhan Sabah, manakala RM17.5 juta dibayar Perbadanan Pinjaman Sabah.

Selebihnya, iaitu RM93,022,670.35 pula diterima daripada 10 GLC negeri.

GLC terbabit ialah Sabah Energy Corporation Sdn Bhd (RM10 juta), Progressive Insurance Berhad (RM6,645,375), Sawit Kinabalu Berhad (RM9,997,500), Desa Plus Sdn Bhd (RM5 juta), Petronas Dagangan Berhad (RM170,000) dan Tongod Plantation Sdn Bhd (RM1.02 juta).

Yang lain ialah Innoprise Corporation Sdn Bhd (RM2,130,177.51), Felda Global Ventures Holding Berhad (RM1,977,973.84), Tabin Wildlife Sdn Bhd (RM81,644), Saham Sabah Berhad (RM1 juta), Sabah Development Berhad (RM40 juta) dan Qhazanah Sabah Sdn Bhd (RM15 juta).

Qhazanah Sabah turut menyerahkan tambahan RM5 juta menerusi program tanggungjawab sosial kosporat (CSR).

Pada masa sama, kerajaan negeri juga menerima sumbangan RM1 juta daripada Korporasi Pembangunan Desa (KPD) yang mengisytiharkan keuntungan berdasarkan pencapaian anak syarikatnya pada tahun ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor menyaksikan penyerahan dividen berkenaan kepada Setiausaha Tetap Kementerian Kewangan, Datuk Rusdin Riman di Menara Kinabalu, hari ini.

Sementara itu, Pengarah Yayasan Sabah, Datuk Ghulam Haidar Khan Bahadar menyerahkan replika cek bernilai RM87,869,819.82 daripada anak syarikat Yayasan Sabah, ICSB kepada Lembaga Amanah Yayasan Sabah yang diwakili Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Safar Untong.

Yang turut hadir pada majlis itu ialah Timbalan Ketua Menteri, Datuk Dr Jeffrey Kitingan; Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Seri Masidi Manjun; Menteri Tugas-Tugas Khas, Datuk Mohd Ariffin Arif dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam negeri, Datuk Datu Rosmadi Sulai.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|