Kota Kinabalu: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senallang, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, didakwa mengelirukan Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah dalam perbahasannya mengenai Perjanjian Pemuliharaan Alam Semulajadi (NCA) atau karbon kredit semalam.
Ketua Penerangan Pemuda UMNO Sabah, Mohd Kurniawan Naim Moktar, dalam satu kenyataan di laman Facebook beliau hari ini berkata, Ketua Pembangkang itu mengelirukan Sidang DUN dengan membuat pernyataan berunsur fitnah kerana tidak mengemukakan sebarang bukti.
“Saya ingin membidas pertuduhan negatif yang dilakukan oleh YB Senallang, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berhubung Perjanjian Pemuliharaan Alam Semulajadi yang dibangkitkan di dalam sesi perbahasan sidang DUN Sabah.
“Pertama, YB Senallang telah bertindak mengelirukan Sidang DUN dengan membuat pernyataan berunsur fitnah berhubung Perjanjian Pemuliharaan Alam Semulajadi tanpa mengemukakan sebarang bukti.
“Kedua, terma ‘membabitkan’ dan ‘menjual’ merupakan dua konsep istilah bahasa yang mendefinisikan maksud yang berbeza. YB Senallang telah menggunakan istilah ‘menjual tanah’ yang jelas sengaja mengundang persepsi negatif dan mengelirukan sidang DUN,” katanya.
Beliau berkata, Perjanjian Pemuliharaan Alam Semulajadi (NCA) adalah membabitkan tanah seluas 600,000 hektar yang masih dalam perbincangan dan dijangka menjadi ‘green economy’ bagi menjana sumber pendapatan baharu negeri Sabah yang berpotensi menjana berbilion ringgit.
Jelasnya, perjanjian itu dapat membantu pekebun kecil dan individu yang memiliki tanah bagi menjana pendapatan menerusi perdagangan karbon.
“Kelima, negara-negara seperti Amerika Syarikat, Korea Selatan, Kanada, Jepun, China, Switzerland dan New Zealand telah terlibat melaksanakan perdagangan karbon.
“Di Amerika Syarikat (California), pemilik tanah dapat menjana pendapatan sehingga RM1,269.30 bagi setiap 10 ekar tanah.
“Keenam, selaku seorang ahli politik berpengalaman, YB Senallang seharusnya mengutamakan prinsip dan etika di dalam membuat sesuatu pertuduhan dan pernyataan bagi menjadi contoh kepada pemimpin generasi muda,” katanya.
Semalam, Mohd Shafie dicabar supaya membuktikan dakwaannya mengenai dua juta hektar tanah di negeri ini ‘dijual’ melalui perjanjian karbon kredit dengan syarikat luar.
Tiga wakil kerajaan termasuk Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Jahid Jahim, bangun meminta penjelasan Shafie Belanjawan Sabah 2022.
Jahid yang juga ADUN Tamparuli meminta Shafie memberikan bukti mengenai dakwaannya, manakala ADUN Sungai Manila, Mokran Ingkat menegaskan beliau tidak bersetuju dengan tuduhan bahawa kerajaan negeri menjual tanah.
Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar yang juga ADUN Kiulu, Datuk Joniston Bangkuai, pula bangun menyuarakan peraturan DUN bahawa kenyataan Shafie mengenai menjual dua juta hektar tanah itu sebagai satu sangkaan jahat kecuali ia dibuktikan.
Dalam perbahasannya, Shafie meminta supaya kerajaan negeri bersikap telus mengenai sebarang perjanjian berkaitan karbon kredit yang dikatakan sudah ditandatangani kerajaan negeri dengan syarikat berpangkalan di Singapura.
Katanya, jika benar perjanjian itu sudah ditandatangani, ia sesuatu yang membimbangkan kerana ia membabitkan soal tanah yang tidak sepatutnya diurus pihak luar.
Jelasnya isu itu timbul berikutan surat Peguam Besar Negeri yang dikatakan bertentangan dengan pendirian kerajaan untuk meneruskan perjanjian berkenaan yang membabitkan tempoh 100 tahun.
-Deasoka