Segera bantu rakyat terjejas akibat pandemik Covid-19 – Amisah

Segera bantu rakyat terjejas akibat pandemik Covid-19 – Amisah

Kota Kinabalu: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dilantik, Datuk Amisah Yasin menggesa kerajaan negeri segera mengambil langkah berkesan bagi menangani isu rakyat yang kehilangan pendapatan disebabkan pandemik Covid-19.

Beliau berkata, langkah mengenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini meruntuhkan ekonomi sekali gus menutup peluang pekerjaan selain menyebabkan sebilangan besar rakyat kehilangan punca pendapatan atau mengalami kekurangan pendapatan.

“Akibat pandemik yang berlanjutan hampir dua tahun, Sabah tidak terkecuali terkena tempias petaka yang melanda, malah sektor pelancongan paling teruk terjejas, manakala rantaian perniagaan berkaitan seperti perhotelan, penginapan dan restoran terpaksa ditutup.

“Sehubungan itu, bagi membela nasib rakyat termasuk anak-anak Sabah yang kehilangan pekerjaan di Semenanjung sehingga ada yang menjadi gelandangan, kita meminta kerajaan negeri segera bertindak melaksanakan operasi khas menjejaki dan membantu mereka ini.

“Kita khuatir kepayahan hidup mereka jika tidak dibantu akan mengundang masalah sosial lain yang lebih parah,” katanya, hari ini.

Sementara itu, Amisah meminta agensi berkaitan agar membuat perancangan dan melaksanakan program pertanian dengan lebih agresif bagi memajukan bidang berkenaan dalam menangani isu kekurangan bekalan makanandi Sabah.

Katanya, tempoh PKP mengajar perlunya Sabah dan negara mempunyai stok makanan yang mencukupi khususnya makanan asas apabila sesuatu sektor terpaksa ditutup menyebabkan rantaian bekalan makanan terjejas.

“Dalam isu ini, kita perlu memanfaatkan sepenuhnya kegiatan pertanian di kawasan luar bandar yang bukan sahaja bertujuan mengatasi kekurangan bekalan makanan tetapi juga memberikan peluang pekerjaan kepada rakyat,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|