SHMKM dilancarkan bermula hari ini

SHMKM dilancarkan bermula hari ini

Kota Kinabalu: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) melaksanakan program ‘Walkabout’ Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia (SHMKM) bermula hari ini sehingga 31 Disember depan.

Pengarah KPDNHEP Sabah Georgie Abas berkata, ia diadakan sebagai langkah untuk menstabilkan harga barangan keperluan pada masa ini selain memastikan keberadaan bekalan di pasaran.

Pasukan KPDNHEP menjalankan operasi di beberapa lokasi bagi memantau harga barangan di pasaran. Pix ihsan KPDNHEP

Katanya, skim ini akan membabitkan kawalan harga ke atas item tertentu seperti ayam, telur ayam dan beberapa jenis sayur-sayuran.

“Antaranya, ayam hidup, ayam standard (disembelih dan dibersihkan berserta kaki, kepala, hati dan hempedal atau mana-mana bahagiannya) dan ayam super (disembelih dan dibersihkan tanpa kaki, kepala, hati dan hempedal).

Operasi ini diadakan bagi menstabilkan harga barangan keperluan selain memastikam keberadaan bekalan di pasaran. Pix ihsan KPDNHEP

“Selain itu telur ayam gred A (berat antara 65.0 gram hingga 69.9 gram sebiji), telur ayam gred B (berat antara 60.0 gram hingga 64.9 gram sebiji) dan telur ayam gred C (berat antara 55.0 gram hingga 59.9 gram sebiji),” katanya.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan media yang dikeluarkan bagi mengulas Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia (SHMKM) 2021 Peringkat Negeri Sabah, hari ini.

Georgie berkata, turut tersenarai adalah kacang panjang, cili merah, tomato, sawi hijau, kobis Bulat Import dan timun.

Katanya, langkah ini diharap berjalan lancar dan membantu menstabilkan harga barang di pasaran.

“Sepanjang tinjauan dijalankan, sebanyak 65 premis diperiksa meliputi gerai menjual ayam, telur, sayur-sayuran dan sebuah pasar raya tumpuan pengguna di Kota Kinabalu.

“Semasa tinjauan dijalankan, Ketua Pegawai Penguatkuasa Negeri, Taha Julai turut menasihatkan para peniaga supaya menjalankan perniagaan secara beretika dan mematuhi SHMKM 2021 dengan tidak menjual melebihi harga maksimum yang ditetapkan.

Menurutnya, peniaga seterusnya diingatkan juga supaya mempamerkan tanda harga berwarna merah jambu untuk barang kawalan SHMKM, mempamerkan penandaan harga yang jelas, mempastikan bekalan sentiasa mencukupi dan mudah diperolehi oleh pengguna.

“Ia juga bagi memastikan peniaga terus mematuhi Standard Operating Procedure (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN) bagi negeri Sabah yang sedang berkuatkuasa.

“Diharapkan SHMKM 2021 ini akan berjalan dengan lancar dan membantu menstabilkan harga barang di pasaran.

“Senarai barangan juga akan dikaji secara berterusan dan akan ditambah atau digugurkan berdasarkan penilaian situasi pasaran,” katanya.

Georgie berkata, semua pihak di seluruh rantaian bekalan dari kalangan pengeluar, pemborong, pengedar dan penjual dinasihatkan dan diberi amaran bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap peniaga yang gagal mematuhi peraturan-peraturan mengikut SHMKM 2021.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|