3,218 set kit URB diedarkan di seluruh negara

3,218 set kit URB diedarkan di seluruh negara

Tawau: Sebanyak 3,218 set kit Unit Rondaan Bermotosikal (URB) Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan diagihkan kepada semua petugas di seluruh negara.

Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK), Datuk Ramli Din berkata, ia bagi meningkatkan tahap keselamatan pasukan URB yang bertugas di unit berkenaan.

Katanya, set kit berkenaan membabitkan lapan item iaitu beg URB kit, topi keledar, jaket keselamatan, vest, sarung tangan keselamatan, pelindung siku, pelindung lutut dan kasut taktikal.

“Semua barangan ini dianggarkan bernilai rm2,290 setiap set dan membabitkan perbelanjaan berjumlah RM7.4 juta untuk seluruh negara.

“Pemberian kit ini kepada petugas barisan hadapan JPJKK khasnya dalam URB adalah bagi menjamin keselamatan mereka ketika menjalankan tugas,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Kit Unit Rondaan Bermotosikal (URB) di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau, di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Pengarah Perancangan Strategik Bukit Aman, Datuk Mustafa Khan Abdul Samat, Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Jauteh Dikun, Ketua Polis Daerah Tawau Asisten Komisioner Peter Umbuas.

Ramli berkata, pemberian kit ini adalah untuk menjamin keselamatan petugas di lapangan memandang statistik menunjukkan terdapat kemalangan berlaku semasa menjalankan tugas dalam unit MPV dan URB.

“Mereka ini merupakan frontliner yang sentiasa berada dihadapan apabila berlakunya kes-kes jenayah yang berlaku.

“Statistik juga menunjukkan terdapat kemalangan maut berlaku dalam kalangan petugas ketika berdepan dengan penjenayah di negara ini,” katanya.

Ramli berkata, sejak tahun 2012 hingga 2021, Sabah tidak mencatatkan sebarang kes kemalangan maut untuk unit URB dan MPV.

Bagaimanapun katanya, terdapat tiga rekod melibatkan kemalangan maut semasa menjalankan tugas, semasa mengejar penjenayah dan sebagainya di Ibu Pejabat Kontijen lain.

“Sehubungan itu, kepimpinan tertinggi PDRM memperkenalkan set kit URB bagi melindungi petugas JPJKK untuk unit rondaan bermotosikal dan mpv.

“Untuk itu, Sabah terpilih sebagai kontijen pertama yang menerima 173 set kit URB melalui program majlis penyerahan kit urb di IPD Tawau,” katanya.

Untuk rekod, sehingga kini IPK Sabah mempunyai 275 motosikal URB dengan 103 petugas rondaan serta 225 kenderaan MPV membabitkan 357 petugas rondaan pencegahan jenayah yang strategik.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|