Sabah tubuh syarikat minyak dan gas sendiri, SMJ Petroleum Sdn Bhd

Sabah tubuh syarikat minyak dan gas sendiri, SMJ Petroleum Sdn Bhd

Kota Kinabalu: Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) hari ini mengumumkan penubuhan syarikat minyak dan gas milik penuh Sabah yang dinamakan SMJ Petroleum Sdn Bhd.

Ketua Menteri, Datuk Hajiji Noor yang mengumumkan perkara itu berkata, ia satu kejayaan bersejarah kepada Sabah hasil keputusan Perjanjian Kerjasama Komersial (CCA) yang dimeterai di antara kerajaan negeri dan PETRONAS, hari ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor (berdiri kiri) bersama Pengerusi PETRONAS, Tan Sri Mohd Bakke Salleh (berdiri kanan) menyaksikan majlis menandatangi CCA di antara kerajaan negeri dan PETRONAS.

“CCA adalah dokumen yang paling penting di antara Sabah dan PETRONAS sejak 16 Jun 1976 apabila perjanjian pembayaran tunai (royalti) dipersetujui, yang ditandatangani di antara Sabah dan PETRONAS.

“Majlis menandatangani CCA hari ini sememangnya menandakan era baharu dalam industri minyak dan gas Sabah,” katanya pada Majlis Menandatangani CCA di antara kerajaan negeri dan PETRONAS di Menara Kinabalu, di sini, petang ini.

Perjanjian itu ditandatangani Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Seri Safar Untong selaku wakil kerajaan negeri, manakala PETRONAS diwakili Presiden yang juga Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz.

Yang turut menyaksikan majlis itu ialah Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Masidi Manjun; Pengerusi PETRONAS, Tan Sri Mohd Bakke Salleh dan Naib Presiden Kanan Pengurusan Petroleum Malaysia, Ir Mohamed Firouz Asnan.

Hajiji yang juga Menteri Kewangan negeri, berkata sejajar dengan terma dan syarat CCA, kerajaan negeri menubuhkan syarikat milik penuhnya sendiri untuk terbabit secara aktif dalam industri minyak dan gas.

“Sehubungan itu, saya berasa gembira mengumumkan penubuhan SMJ Petroleum Sdn Bhd yang akan menerajui penyertaan komersial negeri dalam industri minyak dan gas serta menyelaras semua syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri yang sedia ada bagi memastikan terma dan syarat CCA berjaya dilaksanakan untuk kepentingan Sabah dan rakyatnya,” katanya.

Beliau berkata satu jawatankuasa bersama ditubuhkan oleh Majlis Khas Perjanjian Malaysia 1963 (MKMA63) untuk membincangkan pembabitan secara komersial Sabah dalam industri minyak dan gas di antara kerajaan persekutuan, kerajaan negeri dan PETRONAS.

Sebelum penubuhan jawatankuasa itu, katanya, kerajaan negeri dan PETRONAS mengambil inisiatif sendiri dengan mengadakan perbincangan bermula pada 8 Oktober lalu, yang akhirnya berjaya memuktamadkan CCA dua bulan kemudian.

“Ini menunjukkan PETRONAS dan kerajaan negeri boleh bekerjasama dalam pembangunan industri minyak dan gas di Sabah. Komitmen kerajaan negeri dan PETRONAS memudahkan kerajaan persekutuan kerana hanya satu Mesyuarat Jawatankuasa Bersama untuk kedua-dua pihak mencapai titik persamaan yang ditetapkan dalam CCA,” katanya.

Hajiji berkata, perjumpaan Jawatankuasa Bersama diadakan pada 1 Disember lalu yang mana kerajaan persekutuan bersetuju untuk mengesahkan dan memudahkan penguatkuasaan CCA.

Beliau turut mengulangi kenyataannya ketika membentangkan Belanjawan Sabah 2022 pada Jumaat lalu bahawa CCA akan membolehkan Sabah mendapat penyertaan perkongsian hasil yang lebih besar dalam perkara berkaitan minyak dan gas melalui rangka kerja perundingan komersial dengan PETRONAS dan pada masa yang sama memastikan Sabah mengekalkan hak perundangannya.

Kerajaan juga katanya memberi jaminan bahawa CCA akan mewujudkan persekitaran yang lebih inklusif untuk industri minyak dan gas di Sabah termasuk luar pesisir dan darat.

“Bersama PETRONAS, Sabah akan membangunkan industri minyak dan gas dengan memastikan situasi menang-menang untuk negeri ini serta mewujudkan imej baharu bagi industri itu.

“Kerajaan Sabah menerusi syarikatnya, SMJ Petroleum Sdn Bhd akan mendapat bimbingan daripada PETRONAS supaya Sabah boleh menjadi antara pemain industri yang kukuh,” katanya.

Hajiji turut mengumumkan penubuhan beberapa jawatankuasa di bawah kerjasama berkenaan iaitu Dialog Strategik Tahunan (ASD), Jawatankuasa Penyelarasan Bersama (JCC) dan jawatankuasa kecil dalam bidang huluan, bekalan gas domestik, pelaburan ekuiti dalam gas asli cecair (LNG) dan perniagaan hiliran, industri peralatan dan perkhidmatan minyak dan gas serta pembangunan sumber manusia dan hal berkaitan negeri yang lain.

Melalui jawatankuasa itu yang ahlinya terdiri daripada kerajaan negeri dan PETRONAS, katanya Sabah akan memastikan penyertaan dan kawalan yang lebih besar dalam industri minyak dan gas melalui pelan pembangunan dan penyertaan aktiviti di negeri ini termasuk dalam Pelan Induk Gas Sabah, projek LNG serta pembabitan dalam kontrak perkongsian produk Produk (PSC).

“Sebagai Ketua Menteri, saya akan bersama-sama mengetuai ASD dengan Pengerusi PETRONAS, Tan Sri Mohd Bakke Salleh. ASD ialah platform perbincangan tertinggi bagi memastikan Sabah mendapat manfaat sepenuhnya daripada CCA pada masa depan,” katanya.

Hajiji berkata PETRONAS juga bersetuju menyerahkan hak untuk mengakses data dalam industri minyak dan gas Sabah yang akan memudahkan perbincangan dalam ASD, JCC dan jawatankuasa teknikal di bawahnya.

Selain itu, katanya CCA akan membenarkan penyertaan syarikat atau kontraktor dari Sabah dalam Program Pembangunan Vendor dan PETRONAS akan berusaha untuk memberikan lebih banyak kontrak kepada rakyat Sabah dalam proses tender.

“Apa yang penting, PETRONAS juga komited untuk membayar tunai royalti minyak dan cukai jualan negeri sebagai sebahagian daripada perjanjian perkongsian hasil yang lebih besar.

“Adalah penting untuk dinyatakan di sini bahawa CCA akan memelihara hak perundangan negeri dengan menyediakan perlindungan menyeluruh demi kepentingan negeri,” katanya.

Hajiji berkata kerajaan negeri merakamkan terima kasih atas komitmen kerajaan persekutuan dan PETRONAS yang sentiasa mendengar tuntutan Sabah dari segi hak minyak dan gasnya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada jawatankuasa teknikal CCA yang diketuai oleh Masidi di pihak kerajaan negeri bersama Ir Mohamed Firouz Asnan dari PETRONAS dan bekas Pengerusi Shell Malaysia, Datuk Sri Lim Haw Kuang, seorang anak kelahiran Sabah dalam memastikan CCA menjadi kenyataan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|