Sidang DUN Sabah: Perlu kerjasama semua pihak selesai isu MA63 – Rubin Balang

Sidang DUN Sabah: Perlu kerjasama semua pihak selesai isu MA63 – Rubin Balang

Kota Kinabalu: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemabong, Datuk Rubin Balang, berkata tugas menyuarakan hak Sabah melalui jawatankuasa membincangkan masalah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) tidak sepatutnya hanya digalas oleh menteri.

Beliau berkata, sebaliknya semua pihak perlu bekerjasama untuk mencari jalan menyelesaikan isu berkenaan secepat mungkin demi masa depan rakyat Sabah dan Sarawak.

Datuk Rubin Balang.

“Saya mengikuti pertikaian mengenai MA63. Apa yang menyedihkan rakyat Sabah dan Sarawak sekian lama rasa tertipu di atas penggabungan Negara Sabah dan Negara Sarawak dengan Tanah Melayu atau Malaya yang sekian lama merugikan rakyat kedua-dua wilayah ini.

“Saya berpendapat kita tidak boleh membiarkan sahaja menteri semata-mata wakil Sabah dalam jawatankuasa membincangkan masalah MA63 tetapi kita harus bergandingan tangan untuk meyelesaikan isu MA63 dengan secepatnya demi masa depan rakyat Sabah dan Sarawak sama ada genarasi sekarang atau akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Belanjawan Sabah 2022 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), hari ini.

Rubin menyifatkan pembentangan belanjawan lebihan pada tahun depan melambangkan keupayaan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor selaku Menteri Kewangan mengurus tadbir negeri ini dengan telus dan jelas.

Malah, katanya pencapaian kerajaan negeri memperolehi hasil sebanyak RM4.912 billion pada tahun ini yang mencatat sejarah sebagai kutipan hasil tertinggi Sabah sejak merdeka walaupun dalam cabaran kekangan pandemik yang menjejaskan ekonomi seluruh dunia sebagai sesuatu yang membanggakan.

Sementara itu, beliau turut menyatakan kebimbangannya mengenai kenaikan harga barangan pembinaan dan harga keperluan penjagaan kebun atau pertanian seperti racun dan baja yang melambung ketika ini.

Katanya, jika tidak ditangani segera, situasi itu pasti menjejaskan petani kecil-kecilan dan beliau berharap kerajaan mengambil langkah segera untuk membela golongan petani.

Dalam pada itu, Rubin turut menyuarakan gesaan rakyat di Kemabong yang meminta kerajaan menyegerakan penyukatan tanah dan mengeluarkan geran yang sudah bertahun lama tidak dilaksanakan Jabatan Tanah dan Ukur (JTU).

Katanya, ketiadaan geran tanah menyukarkan rakyat untuk membangunkan tanah yang menjadi sumber ekonomi kepada setiap keluarga di kawasannya.

“Bagi pihak rakyat yang terlibat dalam konsesi Sabah Forest Industry (SFI) khasnya rakyat di daerah Kemabong, Tenom dan yang terbesar sekali di daerah Sipitang yang berpuluh tahun terkurung dan tertekan dengan konsesi SFI ingin menyampaikan ucapan setinggi penghargaan dan terima kepada Ketua Menteri di atas keprihatinan beliau kepada rakyat jelata khasnya mereka yang terlibat dalam konsesi tersebut.

“Ini jelas membuktikan bahawa YAB Ketua Menteri kini adalah seorang pemimpin yang berjiwa rakyat serta bertanggungjawab,” katanya.

Rubin turut berharap Kementerian Kerja Raya mengambil perhatian serius terhadap permohonan rakyat di DUN Kemabong dan DUN Melalap supaya jalan penghubung di antara Kampung Enubai dan Angalor dilaksanakan dengan secepatnya.

“Pada kesempatan ini juga saya utarakan kekecewaan guru-gurj dan masyarakat yang melalui jalan raya Kemabong – Rundum yang jarang sekali diselenggara oleh Jabatan Kerja Raya (JKR)

“Kedua-dua jalan JKR yang sangat menyukarkan guru-guru dan rakyat ialah Jalanraya JKR Kampung Bakuku-SK Simpang yang membahayakan pengguna.

“Saya mohon pihak JKR mengambil tindakan ke atas kedua-dua jalan tersebut dengan segera walaupun banyak lagi aduan jalan raya JKR di beberapa kampung yang lain tetapi yang saya sebutkan ini adalah jalan JKR yang kritikal kerana menyukarkan rakyat di kawasan tersebut,” katanya.

Tidak ketinggalan, Rubin turut mengulangi permohonan rakyat di lima lokasi diancam tanah runtuh akibat banjir di Sungai Padas iaitu pekan Kuala Tomani, pekan Batu 10 Kampung Paal, Kampung Paal Sebrang, Kampung Ponontomon dan Kampung Saga Laut.

“Awal tahun ini saya ada meminta supaya kerajaan khasnya Jabatan Pengairan dan Saliran segera untuk mengambil tindakan melaksana tebatan banjir dab tanah runtuh kerana rakyat sentiasa dibelenggu kebimbangan atas risiko tanah runtuh akibat hakisan sungai Padas,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|