Sidang DUN Sabah: Semua pihak perlu bersatu dalam perjuangan MA63 – Ghulam

Sidang DUN Sabah: Semua pihak perlu bersatu dalam perjuangan MA63 – Ghulam

Kota Kinabalu: Semua pihak diajak supaya berdiri teguh di belakang kepimpinan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor dalam memperjuangkan hak Sabah yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kawang, Datuk Ghulam Haidar Khan Bahadar, berkata dokongan semua pihak penting bagi memastikan rakyat di Sabah dan rakan di Sarawak, mendapat hak yang sewajarnya.

Katanya, perjuangan dan tuntutan berhubung MA63 bukan janji manis di bibir saja memadangkan isu berkenaan sudah menjadi legasi bertahun-tahun lamanya.

“Maka sudah tiba waktunya untuk kita mencari titik noktah penamat, agar ia selesai secara muktamad dan tidak lagi menjadi retorik politik setiap kali tiba musim pilihan raya.

“Kita tidak boleh gentar dalam perjuangan MA63 ini. Sebaliknya, kita harus bersemangat waja, komited dan dedikasi dalam satu acuan pemikiran tanpa mengira kiblat politik, darjat mahupun asal-usul,” katanya ketika membahas Belanjawan Sabah 2022 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, hari ini.

Sehubungan itu, Ghulam mengajak semua pimpinan politik supaya berganding tangan dalam menyuarakan isu tuntutan MA63

“Saya yakin dan percaya, perjuangan murni kita ini mampu dicapai, kerana kita dikemudi nahkoda yang hebat-hebat, dan dibarisi pula oleh platun-platun terhebat,” katanya

Ghulam yang juga Pengarah Yayasan Sabah optimis bahawa tuntutan perjuangan MA63 akan berhasil, malah kini sudah banyak kemajuan dan petanda mengembirakan kelihatan.

Antaranya termasuk rundingan di antara kerajaan negeri, kerajaan persekutuan dan Petronas bagi membincang Perjanjian Kerjasama Komersial (CCA) yang ditandatangani hari ini.

“Dengan termeterainya perjanjian itu, ia membawa makna amat signifikan kepada kita di Sabah dalam konteks perolehan dan perkongsian hasil berkaitan minyak dan gas,” katanya.

Beliau turut mengucapkan syabas kepada pimpinan negeri Sabah yang sejak dahulu hingga kini komited dalam perjuangan MA63.

Ghulam juga mengalu-alukan persetujuan Majlis Khas MA63 (MKMA63) yang memberi kuasa kepada Pengarah Jabatan Perikanan Sabah dan Pengarah Jabatan Perikanan Laut Sarawak bagi melaksanakan urusan pengeluaran permit dan lesen laut dalam bagi vesel penangkapan ikan zon C2.

Begitu juga, kata beliau dalam sektor pendidikan dan pembangunan infrastruktur, khabarnya persetujuan untuk penurunan kuasa daripada Pusat kepada negeri Sabah dudah dalam fasa-fasa pelaksanaan.

“Semua ini terhasil daripada hubungan baik antara negeri dan Pusat, antara Menara Kinabalu dan Putrajaya – kita sememangnya sehaluan membawa kemajuan, kita sebenarnya senada menjiwai denyut nadi rakyat sesama,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|