Sidang DUN Sabah: Sabah beri tempoh masa dua tahun untuk pelabur mula laksana projek

Sidang DUN Sabah: Sabah beri tempoh masa dua tahun untuk pelabur mula laksana projek

Kota Kinabalu: Jemaah menteri telah memutuskan untuk memberi ‘time frame’ atau tempoh masa kepada pelabur hanya selama dua tahun selepas sesuatu perjanjian dimeterai bagi melaksanakan projek pembangunan di negeri ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, perkara itu telah diputuskan jemaah menteri supaya projek yang dilaksanakan tidak memakan masa sehingga bertahun-tahun.

“Kita telah memutuskan dalam jemaah menteri bahawa kita bagi time frame selepas perjanjian dilaksanakan, mereka hanya ada masa selama dua tahun dan dalam tempoh itu mereka mesti mula melaksanakan projek-projek yang dilaksanakan.

“Kita tidak boleh lagi selepas perjanjian dibuat seperti yang berlaku di masa lalu ialah sehingga projek-projek tersebut diheret bertahun-tahun kemudian baru dapat dilaksanakan,” katanya ketika menjawan soalan lisan daripada Datuk Seri Salleh Said Keruak (BN-Usukan), pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), hari ini.

Dalam sesi itu, Salleh bertanya jika kerajaan bercadang untuk mengemaskini proses kelulusan atau kaedah baru untuk menentukan time frame untuk pelabur.

Hajiji yang juga Menteri Kewangan berkata, memang menjadi hasrat kerajaan kepada pelabur yang akan melabur di negeri ini mesti diperkemaskan.

“Saya telah meminta Setiausaha Kerajaan Negeri untuk memastikan bahawa permohonan-permohonan untuk melaksanakan projek pembangunan ini terutama sekali dari pelabur-pelabur ini dapat dipercepatkan kelulusan untuk pelaksanaan ini,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|