Sidang DUN Sabah: Kerajaan perlu ambil langkah berkesan tangani tekanan ekonomi

Sidang DUN Sabah: Kerajaan perlu ambil langkah berkesan tangani tekanan ekonomi

Kota Kinabalu: Kerajaan negeri perlu mengambil langkah berkesan untuk menangani tekanan ekonomi terutama berkaitan kenaikan harga barang dan perkhidmatan bagi memastikan rakyat tidak dibelenggu kesengsaraan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dilantik, Datuk Raimie Unggi, berkata selain pelaksanaan Belanjawan Sabah 2022, kerjasama dengan kerajaan persekutuan juga diharap dapat memberi manfaat kepada rakyat.

Katanya, isu kenaikan harga barangan yang dilaporkan melambung sejak kebelakangan ini perlu diambil perhatian serius dan diselesaikan segera bagi memastikan rakyat tidak terus terbeban dengan keadaan ekonomi semasa.

“Rakyat sehingga hari ini terpaksa mengharungi saat sukar demi kelangsungan hidup. Kenaikan harga barang dan isu pengangguran memberi kesan signifikan kepada seluruh rakyat Malaysia kerana ianya mengundang kekacauan dan ketidaktentuan ekonomi, sosial dan politik sekali gus menjejaskan kehormanian negara amnya dan negeri Sabah khususnya.

“Sesungguhnya, kita amat menghargai komitmen dan bantuan kerajaan Pusat sebanyak RM5.2 biliion melalui Bajet 2022 kepada kerajaan negeri dalam perbelanjaan pembangunan, selari dengan hasrat kita menjadikan Sabah Maju Jaya (SMJ) sebagai halatuju pembangunan.

“Justeru itu, saya berharap kerjasama kerajaan persekutuan dan negeri akan memberi manfaat kepada rakyat negeri ini dalam menangani tekanan ekonomi rakyat.

“Dalam mengharungi keadaan yang mencabar ini, kita mahu tema Belanjawan Sabah 2022 ‘Ekonomi Pulih, Rakyat Sejahtera’ benar-benar dapat memenuhi kehendak dan aspirasi rakyat dan bukan sebaliknya.

“Sehubungan dengan itu, mohon kerajaan memberikan solusi tuntas agar rakyat tidak dibelenggu kesengsaraan,” katanya ketika membahaskan Belanjawan Sabah 2022 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, di sini, hari ini.

Katanya, kenaikan mendadak harga pelbagai barangan keperluan harian seperti ikan, ayam, telur dan sayuran selain barangan untuk sektor pertanian dan pembinaan membimbangkan semua pihak memandangkan kesannya terpaksa ditanggung rakyat bawahan.

Jelasnya isu seperti kenaikan harga racun rumpai dan baja dihadapi golongan petani selain kenaikan harga bahan binaan yang ditanggung kontraktor turut menjejaskan rakyat keseluruhannya terutama yang berpendapan rendah.

“Ekoran daripada permasalahan tersebut, saya ingin tahu apakah langkah komprehensif kerajaan bagi menangani masalah ini dalam jangka masa pendek dan panjang.

“Misalnya menggalakkan masyarakat untuk menanam sayur-sayuran bagi menjimatkan perbelanjaan harian sepertimana yang dipraktikkan pada tahun 1970-an melalui rancangan buku hijau.

“Mungkinkah sudah tiba masanya untuk mendidik masyarakat agar lebih berdikari dan tidak bergantung sepenuhnya kepada subsidi daripada kerajaan.

“Contohnya menggunakan baja organik daripada najis ayam, kambing dan lembu sebagai alternatif susulan kenaikan harga input pertanian disamping mengelakkan peningkatan harga baja kimia yang tinggi sehingga mencecah 57 peratus,”katanya.

Raimie berkata, semua sedar, `trend’ kenaikan harga barang dan perkhidmatan sangat merunsingkan rakyat ekoran rantaian dan impaknya melibatkan semua pihak.

Sehubungan itu, beliau bertanya sama ada kerajaan juga bercadang untuk mengadakan sesi libat urus dengan kementerian yang terlibat supaya kerap turun padang secara mengejut untuk memantau harga barang dan mengambil tindakan tegas terhadap pembekal, orang tengah dan peruncit yang memanipulasikan harga untuk mengaut keuntungan yang tidak munasabah.

“Mungkinkah dasar-dasar dan akta kerajaan Pusat dengan kerjasama kerajaan negeri seperti Kawalan Harga, Anti Pencatutan, Akta Persaingan dan kabotaj tidak mencukupi atau kurang berkesan untuk mengawal kenaikan harga barang dan rantaian bekalan?,” soalnya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|