Sidang DUN Sabah: Bekalan vaksin di Sabah mencukupi, tiada isu kekurangan vaksin timbul

Sidang DUN Sabah: Bekalan vaksin di Sabah mencukupi, tiada isu kekurangan vaksin timbul

Kota Kinabalu: Bekalan vaksin Covid-19 ketika ini mencukupi dengan bekalan sedia ada sebanyak 994,340 dos setakat 30 November lalu.

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Ir Shahelmey Yahya berkata, dengan jumlah itu, isu kekurangan vaksin tidak timbul di Sabah ketika ini.

Beliau memaklumkan, antara faktor kadar vaksinasi rendah di negeri ini adalah disebabkan unjuran populasi penduduk di Sabah menggunakan statistik tahun 2010 dari Jabatan Perangkaan Malaysia.

“Pada masa ini Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) masih menunggu hasil bancian tersebut. Penyelarasan pencapaian sebenar kadar vaksinasi hanya dapat diketahui dengan adanya hasil bancian daripada Jabatan Perangkaan Malaysia dalam masa terdekat ini.

“Kemungkinan besar warga asing telah kembali ke negara asal mereka terutamanya sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan pada tahun 2020,” katanya ketika menjawab soalan daripada Datuk Seri Yong Teck Lee (SAPP-Adun Dilantik), dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, di sini.

Menjawab soalan daripada Datuk Christina Liew (PKR-Api-Api), Shahelmey berkata, sebanyak 561 Program Outreach di bawah Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) Sabah telah dilaksanakan di bawah CITF Daerah melibatkan kerjasama antara Jabatan Penerangan Negeri Sabah(JPNS), JKNS, Pejabat Daerah, Jabatan Perpaduan Negara (JPNIN) dan Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) yang meliputi 468 kampung yang terlibat di negeri ini.

“Melalui program ini sebanyak 270,482 orang telah divaksin. Untuk makluman Program Outreach CITF telah berakhir pada 15 Oktober 2021 dan program vaksinasi ini masih diteruskan oleh JKNS.

“Untuk daerah Tawau, Program Outreach telah dilaksanakan di 87 kampung dengan melibatkan 16,309 orang yang lengkap divaksin,” katanya.

Sementara itu, Program RAVO (Rapid Assessment And Vaccination Operation) telah dilaksanakan di enam daerah di Sabah bermula pada 1 Oktober lalu dengan melibatkan 952 lokaliti di mana pencapaian kadar vaksinasinya masih rendah.

“Daerah-daerah yang terlibat ialah Kinabatangan, Kunak, Tawau, Tongod, Sandakan dan Nabawan. Hasil daripada penyiasatan pasukan RAVO ke lokaliti-lokaliti di enam daerah tersebut telah mendapati bahawa sebanyak 99.42 peratus daripada responden yang layak menerima vaksin telahpun lengkap divaksin.

“Untuk daerah Tawau, setakat 23 November lalu menerusi RAVO yang telah dilaksanakan di 310 lokaliti dengan melibatkan 124,663 populasi. Daripada 124,663 populasi tersebut 96,291 orang dewasa layak divaksin bagaimanapun hanya seramai 2,320 orang telah diberi vaksin melalui operasi RAVO tersebut.

“Ini menunjukkan bahawa majoriti penduduk sudah menerima vaksin menerusi program CITF sebelum itu,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|