Sidang DUN Sabah: Sabah akan gubal undang-undang perikanan baharu

Sidang DUN Sabah: Sabah akan gubal undang-undang perikanan baharu

Kota Kinabalu: Kerajaan negeri akan menggubal undang-undang baharu perikanan Sabah sejajar penurunan kuasa untuk mengeluarkan lesen perikanan laut dalam daripada kerajaan Pusat kepada kerajaan negeri.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Dr Jeffrey kitingan, berkata undang-undang baharu itu perlu bagi memastikan penurunan kuasa kepada Jabatan perikanan negeri berkekalan untuk jangka masa panjang.

Katanya, penurunan kuasa kepada Jabatan Perikanan itu memudahkan proses pengeluaran lesen perikanan laut dalam kepada nelayan yang beroperasi di perairan Sabah dan Labuan.

“Kerajaan Pusat melalui Kementerian Pertanian dan Industri Makanan negeri, baru-baru ini menurunkan kuasa kepada Jabatan Perikanan Sabah untuk memproses dan mengeluarkan lesen perikanan laut dalam serta mengawasi perairan di Sabah dan Labuan.

“Ini membantu meringan dan memudahkan industri atau pemohon bagi mendapatkan lesen dan hasil daripada pengeluaran lesen ini dikutip oleh kita. Ini adalah kebaikan untuk Sabah dalam jangka masa pendek.

“Dalam jangka panjang, negeri telah memikirkan untuk menggubal undang-undang perikanan Sabah sendiri bagi memastikan kuasa ini akan berkekalan di tangan kerajaan negeri Sabah,” katanya.

Jeffrey yang juga Menteri Pertanian dan Perikanan negeri berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Allian Asaffal (WARISAN – Tungku) berkaitan industri perikanan Sabah.

Sabtu lalu, Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Ronald Kiandee menyerahkan surat penurunan kuasa kepada kerajaan negeri melalui Pengarah Jabatan Perikanan Sabah untuk mengeluarkan lesen perikanan laut dalam.

Sebelum ini, kuasa mengeluarkan lesen berkenaan diletakkan di bawah kerajaan persekutuan melalui Ketua Pengarah Perikanan Malaysia.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|