Sidang DUN Sabah: Peralihan Fasa 4 PPN mula tunjuk hasil positif ekonomi Sabah

Sidang DUN Sabah: Peralihan Fasa 4 PPN mula tunjuk hasil positif ekonomi Sabah

Kota Kinabalu: Pembukaan semula semua sektor selepas peralihan ke Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN) menunjukkan hasil positif menerusi peningkatan aktiviti perniagaan dan pengeluaran serta perbelanjaan pengguna di Sabah yang merupakan petanda positif ke arah pemulihan ekonomi.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, prospek ekonomi Sabah dalam tahun 2022 dijangka akan menunjukkan tren pemulihan yang lebih baik selari dengan pemulihan ekonomi di peringkat nasional dan global.

Hajiji ketika hadir pada sidang DUN hari ini.

“Kerajaan negeri juga sedang dan akan memperkasa pelaksanaan projek-projek pembangunan meliputi pelbagai sektor selari dengan pelbagai strategi dan pelan pembangunan yang telah dirancang ke arah memulih dan merangsang pertumbuhan ekonomi Sabah.

“Dalam sektor pertanian, Kerajaan negeri melalui Kementerian Pertanian dan Perikanan serta jabatan dan agensinya akan terus memperhebat pelaksanaan projek-projek pembangunan pertanian baharu dan merancakkan semula pelaksanaan projek-projek sedia ada di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

“Ini untuk memajukan sub-sektor tanaman, perikanan dan ternakan bagi menjamin bekalan makanan yang mencukupi dan menghasilkan lebih banyak produk pertanian bernilai tambah tinggi untuk tujuan komersial yang berupaya untuk merangsang pertumbuhan sektor berkenaan,” katanya ketika menjawab soalan daripada Datuk Seri Salleh Said Keruak (BN-Usukan), pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), hari ini.

Hajiji yang juga Menteri Kewangan berkata, pelbagai usaha juga sedang dilakukan oleh kerajaan negeri untuk merancakkan aktiviti sektor perindustrian.

“Untuk itu, pelbagai inisiatif dilakukan untuk meningkatkan produktiviti dan kualiti produk perindustrian negeri ini.

“Pada masa yang sama, kerajaan negeri juga meneruskan dasar mesra perniagaan dan mewujudkan persekitaran kondusif untuk menarik lebih banyak penglibatan dan pelaburan sektor swasta dalam industri hiliran bernilai tinggi khususnya di taman-taman perindustrian sedia ada di negeri ini.

“Kerajaan negeri juga memberikan tumpuan kepada usaha bagi memperkasa peranan dan sumbangan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) dalam sektor tersebut,”katanya.

Sementara itu, Hajiji berkata, dalam sektor pelancongan, pelaksanaan pelbagai inisiatif dalam Pelan Pemulihan Sabah Tourism Recovery Roadmap akan diperhebat bagi memulih dan melonjakkan pembangunan sektor berkenaan.

“Usaha untuk meneroka dan membangunkan lebih banyak produk-produk pelancongan baharu, menambah baik infrastruktur dan kemudahan asas pelancongan serta menjalankan promosi pelancongan yang agresif dan akan terus diberi perhatian oleh kerajaan negeri sebagai pemangkin pertumbuhan sektor ini.

“Selain itu, kerajaan negeri juga mengambil langkah melonggarkan prosedur operasi standard (SOP) rentas negeri dengan membenarkan kemasukan pelawat yang lengkap vaksin Covid-19 ke negeri ini tanpa perlu menjalani ujian saringan Covid-19 berkuatkusa 1 Disember 2021.

“Negeri Sabah juga bersiap sedia sepenuhnya untuk menerima ketibaan pelancong luar negara sebaik sahaja Malaysia membuka sempadan negara yang dijangka akan dilaksanakan pada tahun hadapan.

“Saya yakin, walau dalam suasana norma baharu, kedatangan semula pelancong akan mampu memulihkan semula sektor pelancongan di Sabah. Namun, pada masa sama, kerajaan juga akan terus memantau dengan rapi penularan varian baharu Covid-19 dan akan tetap mengambil kira keselamatan rakyat dalam melaksanakan apa juga tindakan,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|