Sidang DUN Sabah: Mesti mampu kutip hasil syarat naik taraf daerah penuh

Sidang DUN Sabah: Mesti mampu kutip hasil syarat naik taraf daerah penuh

Kota Kinabalu: Kerajaan negeri akan meneliti semula kriteria pewujudan Pejabat Daerah Penuh bagi memastikan pembangunan yang berterusan di sesebuah daerah.

Pembantu Menteri di Jabatan Ketua Menteri, Datuk Abidin Madingkir, kriteria itu memberi keutamaan kepada daerah yang boleh memungut hasil untuk menampung keperluan majlis daerah di samping kriteria lain.

“Misalnya, Pejabat Daerah Membakut yang mempunyai pungutan hasil sebanyak RM6.38 juta dalam setahun membolehkannya dinaik taraf sebagai Pejabat Daerah Penuh,” katanya pada sesi soal Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, hari ini.

Beliau menjawab soalan Mohamad Mohamarin (WARISAN – Banggi) mengenai cadangan menaik taraf daerah kecil kepada daerah penuh di negeri ini.

Abidin berkata, berdasarkan rekod pungutan hasil oleh Majlis Daerah pada tahun 2020, terdapat beberapa Majlis Daerah yang gagal mengutip hasil dengan baik sekali gus menjadikan Majlis Daerah terbabit sebagai liabiliti kepada kerajaan.

“Contohnya Majlis Daerah Semporna (-RM789,541.00), Pitas (-RM568,684.00), Nabawan (-RM2,252,311.00), Lahad Datu (-RM2,573,371.00), Kunak (-RM1,281,662.00 dan Majlis Daerah Kuala Penyu (-RM104,344.00).

“Ini menunjukkan pendapatan yang dikutip oleh Majlis Daerah adalah mencerminkan kesediaan daerah tersebut untuk menjadi sebuah daerah penuh.

“Justeru, kriteria baharu ini akan dijadikan sebagai kriteria penentu kepada pewujudan Pejabat Daerah Penuh pada tahun hadapan,” katanya.

Abidin juga berkata ia membuktikan langkah menaik taraf daerah kecil kepada daerah penuh bukan penentu kepada kemajuan pembangunan di daerah berkenaan.

“Kerajaan akan sentiasa memastikan inisiatif penstrukturan semula pentadbiran daerah ini akan membolehkan sesebuah daerah itu membangun dan berdaya saing setanding dengan daerah-daerah lain di Semenanjung yang berjaya,” katanya.

Terdahulu, Abidin berkata pewujudan Pusat Pentadbiran Daerah Penuh akan melibatkan implikasi kewangan yang besar kepada kerajaan negeri.

Oleh itu, katanya kerajaan perlu meneliti sebaik-baiknya sebarang cadangan yang boleh membawa perbelanjaan yang besar dan berpanjangan kepada kerajaan.

Jelasnya, langkah menaik taraf daerah kecil kepada daerah penuh bukanlah satu jalan penyelesaian untuk membangunkan daerah dengan lebih efektif.

“Kerajaan lebih komited untuk mencapai sasaran menstrukturkan semula pentadbiran daerah di seluruh negeri Sabah bermula pada tahun ini bagi memastikan pembangunan daerah dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.

“Pendekatan baharu ini mensasarkan sebanyak 73 jawatan Penolong Pegawai Daerah (Pembangunan) yang akan memudahcara pengurusan pembangunan di 73 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Penolong Pegawai Daerah (Pembangunan) ini akan bertindak sebagai focal officer yang akan bertanggungjawab memantapkan lagi pengurusan dan pentadbiran di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing,” katanya.

Beliau berkata, secara prinsipnya kerajaan mensasarkan 24 orang Penolong Pegawai Daerah (Pembangunan) baharu akan ditempatkan di 24 Pejabat Daerah Penuh selewat-lewatnya pada penghujung tahun ini, manakala selebihnya akan dilaksanakan pada tahun 2022.

Beliau memberi contoh, daerah Tuaran yang mempunyai empat kawasan DUN iaitu Pantai Dalit, Sulaman, Tamparuli dan Kiulu akan memiliki empat Penolong Pegawai Daerah (Pembangunan) yang akan menjadi focal officer untuk setiap kawasan DUN

“Penolong Pegawai Daerah (Pembangunan) sedia ada di Pejabat Daerah Tuaran adalah focal officer untuk kawasan DUN Pantai Dalit. Manakala seorang Penolong Pegawai Daerah (Pembangunan) baharu akan ditempatkan di Pejabat Daerah yang sama (Pejabat Daerah Tuaran) yang akan menjadi focal officer untuk Kawasan DUN Sulaman.

“Penolong Pegawai Daerah (Pembangunan) sedia ada di Pejabat Daerah Kecil Tamparuli dan Kiulu masing-masing pula akan menjadi focal officer di kawasan DUN Tamparuli dan Kiulu. Begitu juga kawasan DUN yang lain, penempatan Penolong Pegawai Daerah (Pembangunan) akan distruktur semula mengikut kesesuaian kawasan DUN di Pejabat Daerah yang berkaitan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|