Ajal ketika melintas jalan

Ajal ketika melintas jalan

Kota Kinabalu: Seorang pejalan kaki maut selepas dirempuh sebuah pacuan empat roda yang dipandu wanita warga emas dalam kejadian di Jalan Coastal, di sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 pagi itu, Awangku Safie Awangku Mohd, 49, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan perubatan Hospital Queen Elizabeth I (HQEI).

Mangsa meninggal dunia di lokasi kemalangan.

Ketua Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu, Deputi Superintendan Jo AK Hang berkata, pihaknya menerima makluman daripada orang awam pada jam 2.45 pagi.

Katanya, sepasukan anggota dan pegawai kemudiannya dikerah ke lokasi kejadian bagi menjalankan siasatan.

“Siasatan awal mendapati, pemandu kereta Mitsubishi Triton dipercayai bergerak dari arah Pasar Besar Kota Kinabalu menghala ke Market 88 Kepayan.

“Bagaimanapun, sebaik tiba di lokasi kejadian, pemandu berusia 61 tahun yang memandu di lorong kiri dipercayai gagal melihat mangsa berikutan keadaan di kawasan berkenaan gelap kerana lampu jalan tidak berfungsi,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Jo berkata, akibat keadaan itu, pemandu pacuan empat roda berkenaan tidak sempat mengelak lalu terlanggar pejalan kaki terbabit.

Katanya, sepasukan paramedik HQEI yang diketuai Dr Mohd Ariff Hasreen yang hadir membantu di lokasi kejadian kemudiannya mengesahkan mangsa meninggal dunia pada jam 3.40 pagi.

“Mangsa tidak disyaki mabuk, namun sampel darah mangsa sudah diambil semasa bedah siasat dijalankan dan dihantar ke Jabatan Kimia bagi analisis alkohol.

“Siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

Sementara itu, Jo menasihati orang ramai terutamanya pejalan kaki supaya menggunakan jejantas atau lintasan pejalan kaki disediakan.

Selain itu katanya, saksi awam yang melihat kejadian juga diminta tampil membantu siasatan polis.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|