Sidang DUN Sabah: KPLB teruskan program bina baharu, baik pulih rumah

Sidang DUN Sabah: KPLB teruskan program bina baharu, baik pulih rumah

Kota Kinabalu: Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) Persekutuan telah meneruskan program Skim Pembangunan Kesejahteraan Rakyat (SPKR) sebagai salah satu touch point utama kerajaan yang sentiasa prihatin menjaga kesejahteraan dan mendahulukan kebajikan rakyat.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Jahid Jahim berkata, salah satu komponen bantuan dalam SPKR adalah Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) yang meliputi dua skop kerja iaitu bina baharu dan baik pulih bagi rumah yang uzur atau rosak disebabkan oleh bencana dan masih ekonomik untuk dibaiki.

“Sehubungan itu, berdasarkan maklumat yang diperolehi daripada KPLB Persekutuan, bagi tahun 2021 dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), sebanyak RM1.023 juta telah diperuntukkan untuk Dewan Undangan Negeri (DUN) Liawan yang meliputi 41 projek Baik Pulih dan enam projek Bina Baharu.

“Kerajaan negeri telah meminta kepada kerajaan Persekutuan mesti komited untuk memberi bantuan kepada semua DUN kawasan luar bandar terutamanya di Sabah berdasarkan peruntukan yang telah diluluskan oleh pihak Kementerian Kewangan Malaysia,” katanya ketika menjawab soalan yang dikemukakan oleh Datuk Anwar Ayuub (STAR-Liawan) dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), di sini, hari ini.

Menjawab soalan tambahan yang dikemukakan, Jahid berkata, pelaksanaan projek bina baharu dan baik pulih di kawasan DUN akan dibawa ke pihak KPLB supaya proses pelaksanaan lebih teratur.

“Pada tahun 2021, KPLB Persekutuan telah memperuntukkan sebanyak RM78.2 juta bagi 512 bina baharu dan 2,892 baik pulih.

“Kebanyakkan hampir semua telah memaklumkan kepada saya bahawa ADUN-ADUN tidak mendapat maklumat yang jelas tentang pelaksanaan projek baik pulih ini.

“Dengan itu, supaya ia lebih dirasai oleh ADUN-ADUN dengan makluman saya akan bawa perkara ini kepada pihak KPLB supaya dapat diproses pelaksanaan ini dalam keadaan lebih teratur melalui pejabat-pejabat daerah,” katanya bagi menjawab soalan tambahan Anwar berhubung tidak menerima maklumat berhubung projek yang dilaksanakan di DUN Liawan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|