Sidang DUN Sabah: Ambil kira kesediaan bayar cukai pintu naik taraf daerah kecil

Sidang DUN Sabah: Ambil kira kesediaan bayar cukai pintu naik taraf daerah kecil

Kota Kinabalu: Kerajaan perlu mengambil kira kesediaan penduduk membayar cukai pintu bagi membiayai perkhidmatan disediakan majlis daerah sebelum membuat keputusan menaik taraf sesebuah daerah kecil ke daerah penuh.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata jika penduduk belum bersedia membayar cukai untuk perkhidmatan seperti kutipan sampah, ia akan menimbulkan masalah kepada majlis daerah.

“Mengenai pewujudan pejabat daerah penuh di kawasan tertentu, suka saya memaklumkan bahawa tujuan kita menubuhkan daerah penuh dari daerah kecil ialah untuk memberi perkhidmatan tetapi apabila kita menubuhkan satu daerah penuh maka kita juga fikir menubuhkan satu majlis daerah yang akan memberi perkhidmatan seperti mengutip sampah dan cukai.

“Kita ada masalah di sini, kadang penduduk kampung belum sedia bayar cukai, contohnya kutip sampah perlu cukai pintu. Kalau dapat pungutan maknanya kita dapat beri perkhidmatan yang baik.

“Jika belum sedia bayar dan tidak banyak perniagaan untuk dikutip cukai, maka perkhidmatan itu jadi masalah. Ini antara yang kerajaan fikir sebelum membuat keputusan meluluskan pembentukan daerah penuh,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Assafal Alian (WARISAN – Tungku) mengenai cadangan menaik taraf daerah kecil yang kepada daerah penuh.

Mengulas lanjut, Hajiji bagaimanapun berkata kerajaan tetap melaksanakan kajian untuk menaik taraf daerah kecil tertentu.

Pada masa sama, katanya kerajaan negeri akan melantik Penolong Pegawai Daerah (ADO) di setiap 73 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah mulai tahun depan bagi membantu Pegawai Daerah melaksanakan perkhidmatan kepada rakyat.

“Namun, ini bukan bererti daerah kecil tidak dipertimbang untuk dijadikan daerah penuh. Kita akan membuat pertimbangan apabila daerah kecil terbabit dilihat sudah boleh dinaik taraf untuk memberi perkhidmatan kepada rakyat,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|