Sidang DUN Sabah: Lembaga Sukan Sabah kehilangan hasil lebih RM10 juta akibat pandemik Covid-19

Sidang DUN Sabah: Lembaga Sukan Sabah kehilangan hasil lebih RM10 juta akibat pandemik Covid-19

Kota Kinabalu: Lembaga Sukan Sabah kehilangan pendapatan hasil lebih RM10 juta kesan daripada pandemik Covid-19 berikutan lapan kompleks sukan dijadikan Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) dan pusat vaksinasi.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ellron Angin berkata, dalam usaha memerangi Covid-19, kerajaan Sabah bermula April 2020 telah mengaragkan beberapa kompleks sukan di bawah Pengurusan Lembaga Sukan Sabah dijadikan sebagai PKRC.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ellron Angin

“Pusat-pusat itu pada masa ini juga telah dijadikan sebagai Pusat Vaksinasi. Kompleks-kompleks sukan tersebut
adalah Kompleks Sukan Kota Kinabalu, Kompleks Sukan Sandakan dan Kompleks Sukan Tawau.

“Kompleks Sukan Keningau, Kompleks Sukan Ranau, Kompleks Sukan Sipitang, Kompleks Sukan Tambunan dan Kompleks Sukan Tenom,” katanya dalam ucapan penggulungan pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, di sini, hari ini.

Katanya lagi, disebabkan itu Lembaga Sukan Sabah tidak dapat mengutip hasil penggunaaan kemudahan Kompleks Sukan akibat
Pandemik Covid-19.

“Dalam tahun 2020 dan 2021, Lembaga Sukan Sabah mengalami kehilangan pendapatan hasil sebanyak RM10,101,164.44,” katanya.

Sementara itu, sebelum menamatkan ucapannya, Ellron berharap Ketua Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Hajiji Noor dapat mempertimbangkan penambahan jumlah peruntukan yang telah diberikan kepada kementeriannya.

“Pengurangan jumlah peruntukan yang diberikan kepada kementerian saya pada tahun 2022 semasa Ucapan Perbahasan Bajet pada 03 Disember 2021 sedikit sebanyak akan menjejaskan pelaksanaan beberapa program yang telah dirancang oleh kementerian saya yang menjurus kepada program pembangunan belia dan beliawanis dalam bidang kemahiran, keusahawanan dan kepimpinan,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|