Sidang DUN Sabah: Hanya 31 pemohon layak jadi ‘boss’

Sidang DUN Sabah: Hanya 31 pemohon layak jadi ‘boss’

Kota Kinabalu: Hanya 31 daripada 1,020 permohonan untuk mengikuti program ‘Be Your Own Boss’ (BYOB) anjuran Perbadanan Nasional Berhad (PERNAS) dan Kementerian Pembangunan Perindustrian (MID) di Sabah berjaya mendapat tempat pada tahun ini.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Dr Joachim Gunsalam, berkata PERNAS, iaitu agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) bekerjasama dengan MID Sabah menganjurkan program itu melalui Jabatan Pembangunan Perindustrian dan Penyelidikan (DIDR).

Katanya, program itu adalah satu pendekatan yang positif dan holistik dalam usaha membangunkan Sistem Keusahawanan di Sabah.

“Dalam program ini, PERNAS dan MID memperkenalkan konsep perniagaan francais sebagai landasan untuk membantu individu yang berminat menceburi bidang keusahawanan.

“Dengan bantuan dana dan kursus yang diberikan, maka secara tidak langsung program ini mampu mengembangkan perniagaan bersistemkan francais di Sabah,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Pembangunan Perindustrian negeri menjawab soalan Datuk Raimie Unggi (UMNO – Dilantik) mengenai sejauh mana kerjasama di antara kerajaan negeri dan persekutuan dalam pembangunan program SME di kawasan bandar dan luar bandar di Sabah.

Dr Joachim berkata, dalam melaksanakan kerjasama itu, DIDR menyediakan dana berbentuk geran bantuan melalui peruntukan Bantuan Industri Kecil dan Sederhana (BAIKS).

PERNAS puka katanya memberi sistem latihan berstruktur dan menyediakan pemadanan perniagaan bersama dengan francaisor tempatan yang berdaftar di bawah PERNAS.

“Untuk makluman, daripada 1,020 permohonan yang diterima hanya 31 peserta yang berjaya menyertai program bagi tahun 2021.

“Proses pemilihan peserta bagi program ini meliputi sesi temuduga, kursus, semakan kredit dan ujian psikomatrik,” katanya.

Beliau berkata, peserta yang berjaya mengikuti program itu akan dipantau selama setahun dan pihak PERNAS akan berusaha membimbing semua peserta agar menjadi Usahawan francais yang berjaya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|