Sidang DUN Sabah: Kerajaan disaran tubuhkan GLC untuk kendalikan pengangkutan awam

Sidang DUN Sabah: Kerajaan disaran tubuhkan GLC untuk kendalikan pengangkutan awam

Kota Kinabalu: Kerajaan negeri disaran menubuhkan sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) atau agensi pelaburan di bawah Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) bagi mengendalikan perkhidmatan pengangkutan awam di ibu negeri.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Api-Api (PKR), Datuk Christina Liew, berkata GLC atau agensi berkenaan perlu komited melabur dalam perniagaan pengangkutan awam dengan mencari sumber kewangan selain tambang melalui sumber hasil alternatif.

Beliau berkata, sebagai permulaan, syarikat GLC yang dicadangkan itu menggunakan bas untuk beroperasi kerana kenderaan berkenaan dilihat sebagai kaedah yang sesuai untuk dilaksanakan di kawasan ibu negeri pada masa ini.

“Kita memerlukan pengangkutan awam yang berkualiti berfokus kepada bas sebagai permulaan dengan elemen tarikan seperti aplikasi mengesan bas bagi memudahkan penumpang berada di perhentian bas yang direka dengan baik untuk masa minima menunggu.

“Bas haruslah mempunyai wajah baik dan kemudahan untuk semua, laluan untuk waktu perjalanan bas yang boleh dipercayai serta sebuah sistem e-tambang bersepadu untuk pertukaran bas dengan mudah dan mampu bayar, antara ciri-ciri yang perlu diambil kira,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Belanjawan Sabah 2022 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, hari ini.

Christina berkata, sebuah sistem bas berkualiti boleh menarik bakal penumpang agar beralih daripada perjalanan dengan memandu kereta sendiri ketika waktu puncak.

Jelasnya, pendekatan itu untuk mengurangkan bilangan kenderaan yang bertumpu di jalan raya bandar raya ke arah mengurangkan kesesakan lalu lintas di bawah konsep Pembangunan Mapan untuk Pengangkutan Awam.

“Saya difahamkan kita ada bakat tempatan yang bersemangat dalam mempromosikan Pembangunan Mapan Untuk Pengangkutan Awam dengan fokus kepada pengangkutan bandar.

“Kita perlu mengkaji semula model niaga bas semasa daripada IOIO, iaitu memiliki secara individu, beroperasi secara individu kepada GOCO, iaitu milikan kerajaan, beroperasi secara kontrak yang mana pemilik-pengendali bas sedia ada disatukan sebagai pemegang saham syarikat mengikut laluan yang dioperasikan.

“Mereka diberi peluang untuk berkhidmat dengan mengoperasikan perniagaan bas yang dimiliki kerajaan itu di sepanjang laluan masing-masing di mana mereka (pemilik-pengendali bas) akan dibayar yuran,” katanya.

Bagi merealisasikan cadangan itu, katanya pimpinan negeri perlu menetapkan halatuju yang betul supaya pelaksanaannya dapat dilakukan dengan baik.

Beliau berkata, langkah baharu itu perlu setelah semua rombakan sistem pengangkutan yang dicadangkan sejak beberapa dekad tidak menjadi kenyataan disebabkan kekurangan kesanggupan politik untuk mencapai apa yang dirancang.

“Untuk menambah baik sistem pengangkutan awam di Kota Kinabalu, cadangan untuk membina stesen bas lengkap dengan kemudahan ‘letak kereta dan menumpang’ monorel (dicadangkan pada tahun 2009), transit rel ringan, trem, sistem bas transit laju (BRT) dan kereta api laju (sky train) telahpun dibuat atau disebut sejak Kota Kinabalu menjadi bandar raya pada 2000,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|