Empat kanak-kanak dijangkiti HMFD di Lahad Datu

Empat kanak-kanak dijangkiti HMFD di Lahad Datu

Lahad Datu: Empat kes Penyakit Tangan, Kaki Dan Mulut (HFMD) dilaporkan berlaku di daerah ini membabitkan kanak-kanak berusia dua hingga lapan tahun.

Memetik kenyataan yang dikeluarkan Pejabat Kesihatan Kawasan Lahad Datu, empat kanak-kanak itu disahkan menghidap jangkitan HMFD yang berasal dari lokaliti yang sama iaitu di Kampung Sapagaya Hilir, di sini.

“Kesemua kes ini mempunyai gejala jangkitan HMFD iaitu demam, ulser di mulut serta ruam di bahagian kaki dan tangan.

“Aktiviti kawalan seperti siasatan kes, lawatan ke rumah kes dan Active Case Detection sedang giat dijalankan,” kata kenyataan itu dalam hantaran di Facebook rasminya semalam.

Kenyataan itu turut berkata, bagi memastikan keberkesanan langkah-langkah kawalan dan pencegahan yang diambil, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) turut mengingatkan amalan amat penting kepada orang ramai.

“Ini termasuk penjagaan kebersihan diri, amalan cuci tangan yang betul, penjagaan kebersihan persekitaran, pemeriksaan atau saringan di pintu masuk (gatekeeping screening) di taska, tabika, pra-sekolah dan sekolah serta disinfeksi atau nyahkuman permukaan yang tercemar.

“Dapatkan rawatan segera sekiranya anak anda mempunyai gejala seperti demam, ulser di mulut serta ruam di bahagian tangan dan kaki,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|