Sidang DUN Sabah: Penduduk hilang nyawa dibaham buaya kerana masalah air – ADUN Sebatik

Sidang DUN Sabah: Penduduk hilang nyawa dibaham buaya kerana masalah air – ADUN Sebatik

Kota Kinabalu: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebatik, Hassan A Gani Pg Amir, mendedahkan ketiadaan bekalan air yang dialami di kawasannya mengundang risiko kehilangan nyawa kepada penduduk.

Beliau menjelaskan, kes hilang nyawa semata-mata kerana tiada bekalan air berlaku disebabkan penduduk terpaksa turun ke sungai untuk mandi dan mengambil air sebelum akhirnya dibaham buaya atau lemas.

Beliau berkata, kes dibaham buaya ketika penduduk mandi di sungai bukan perkara baharu di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sebatik, khususnya di daerah Kalabakan.

“Masalah ketiadaan bekalan air, bukan setakat masalah kegagalan kita tetapi bagi rakyat DUN Sebatik ia melibatkan kehilangan nyawa.

“Disebabkan ketiadaan air, mereka terpaksa turun mandi di sungai yang mendedahkan kepada risiko lemas dan serangan maut buaya.

“Dalam tahun ini saja dua orang menjadi mangsa iaitu masing-masing di Kampung Brantian dan Kampung Serudung Laut,” katanya ketika membahaskan Belanjawan Sabah 2022 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, hari ini.

Katanya, semua wakil rakyat mempunyai tanggungjawab untuk membantu mengatasi masalah bekalan air bagi memastikan rakyat tidak terus berdepan risiko keselamatan bagi mendapatkan air.

“Benar ajal maut ketentuan tuhan tetapi ini cerita orang dibaham buaya kerana
tiada air dirumahnya. Peristiwa ini akan berulang dan akan menghantui kita jika kita tidak menyediakan bekalan air bersih kepada rakyat seperti ini,” tegasnya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|