Sidang DUN Sabah: Kadar pengangguran di Sabah 9 peratus

Sidang DUN Sabah: Kadar pengangguran di Sabah 9 peratus

Kota Kinabalu: Sabah mencatat kadar pengangguran sembilan peratus dengan seramai 178,600 individu dilaporkan menganggur setakat suku ketiga tahun ini.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk Yakub Khan, berkata statistik itu yang dikeluarkan Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Sabah menunjukkan kadar pengangguran di negeri ini lebih tinggi berbanding kadar kebangsaan.

Katanya, kadar pengangguran di seluruh negara ketika ini dilaporkan pada paras 4.7 peratus iaitu sehingga suku ketiga 2021.

“Secara keseluruhan jumlah pengangguran di seluruh negara sehingga suku ketiga tahun ini ialah kira-kira 746,200 orang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (WARISAN – Senallang) mengenai jumlah belia yang mendapat pekerjaan menerusi pelbagai inisiatif dilaksanakan kerajaan negeri.

Berdasarkan statistik yang dikumpul setakat ini, Yakub berkata sebanyak 64,695 peluang pekerjaan ditawarkan di Sabah melalui Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) sejak 1 Januari 2019 hingga 12 Novembr tahun ini.

Dalam tempoh sama, katanya seramai 2,706 individu di Sabah terbabit dalam kes pemberhentian kerja, manakala 11,911 pencari kerja mendapat penempatan semula pekerjaan melalui PERKESO.

Mengenai pengangguran membabitkan graduan dan belia, beliau berkata seramai 967 individu yang berumur 18 tahun ke bawah direkodkan setakat Oktober tahun ini.

“Jumlah graduan dan belia berumur 18 tahun hingga 30 tahun yang menganggur setakat Oktober 2021 pula ialah seramai 63,507 orang,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|