Kota Kinabalu: Polis akan menjalankan siasatan menyeluruh berhubung rakaman yang memaparkan seorang wanita menengking anggota polis di sebuah sekatan jalan raya (SJR) sehingga tular di media sosial, sejak semalam.
Insiden yang dipercayai berlaku pada 1 Jun lalu itu, menerima pelbagai reaksi termasuk kecaman daripada netizen walaupun tidak diketahui punca sebenar kejadian berkenaan.
Ada juga dakwaan yang menyatakan wanita terbabit bertindak sedemikian kerana dikatakan terpaksa menunggu hampir 30 minit sebelum diberitahu kesalahannya.
Selain itu, ada juga dakwaan kononnya wanita terbabit berang selepas disindir oleh anggota polis yang bertugas di lokasi berkenaan.
Bagaimanapun, punca wanita terbabit dikenakan saman adalah kerana cukai jalan dan insurans kenderaan sudah tamat tempoh.
Dalam rakaman itu, beberapa anggota dan pegawai polis turut dilihat cuba menenangkan wanita terbabit namun tidak berjaya.
Malah sebelum meninggalkan tempat kejadian, wanita terbabit sempat mengeluarkan perkataan ‘biadap’ terhadap pasukan keselamatan.
Sementara itu, Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hazani Ghazali berkata, pihaknya akan memanggil wanita terbabit untuk diambil keterangan bagi membantu siasatan.
Katanya, Timbalan Pendakwaraya juga menasihatkan polis supaya menjalankan siasatan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.
“Kita akan menjalankan siasatan secara menyeluruh membabitkan kedua belah pihak sebelum tindakan selanjutnya diambil.
“Sekiranya terbukti benar ada anggota polis yang mengeluarkan kenyataan menyinggung perasaan wanita terbabit kita akan ambil tindakan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Hazani berkata, begitu juga tindakan akan diambil sekiranya terbukti wanita itu yang menjadi punca ketegangan yang berlaku di SJR berkenaan.
Sementara itu, ketika ditanya mengenai dakwaan polis tidak sepatutnya mengeluarkan saman disebabkan cukai jalan berkenaan tidak dapat diperbaharui ketika penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Hazani berkata, cukai jalan kenderaan wanita berkenaan tamat sejak awal tahun ini.
Katanya, perkara itu tidak dapat diterima memandangkan penguatkuasaan PKP pernah dihentikan dua kali sebelum ini.
“Alasan itu tidak boleh diterima, sekalipun cukai jalan tidak boleh diperbaharui, mengapa insurans kenderaan tidak diperbaharui”?
– Deasoka