4,000 asnaf terima bantuan khas

4,000 asnaf terima bantuan khas

Kota Kinabalu: Seramai 4,000 individu yang terdiri daripada golongan asnaf akan menerima bantuan khas bakul makanan bernilai RM300, 000.

Menteri Tugas-Tugas Khas, Datuk Arifin Arif berkata, bantuan terbabit disumbangkan melalui Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) itu adalah bagi membantu golongan tersebut yang terkesan akibat pandemik Covid-19.

Menurut beliau, agihan berkenaan adalah hasil kerjasama daripada Pegawai Tadbir Agama (PTA) dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) merangkumi semua daerah di negeri ini.

“Asnaf ini akan dikenalpasti oleh pihak JHEAINS di peringkat daerah-daerah dan kita menyediakan RM300, 000 kepada seramai 4,000 penerima yang terdiri daripada golongan ini dan dikenalpasti terjejas akibat pandemik,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam majlis penyerahan sumbangan itu di perkarangan Masjid Negeri Sabah, Kota Kinabalu, pada Jumaat.

Sementara itu, Arifin berkata, sejumlah RM100, 000 telah disumbangkan menerusi bantuan khas waris pesakit Covid-19 melibatkan bantuan secara one off berjumlah RM1, 000.

Bantuan tersebut adalah bagi waris kepada individu yang meninggal dunia akibat Covid-19.

“Untuk perkara ini, bolehlah merujuk kepada pejabat JHEAINS di daerah-daerah dan pengesahan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Mereka yang terlibat juga boleh merujuk kepada Pegawai Tadbir Agama di daerah masing-masing.

“Dalam masa yang sama, boleh juga merujuk kepada bahagian zakat dan fitrah MUIS,” katanya.

Sementara itu, dalam perkembangan berasingan, beliau turut mendedahkan pihak MUIS telah melaksanakan pemberian bantuan tambahan kepada 9,800 penerima bantuan bulanan asnaf fakir yang berdaftar di bawah majlis tersebut.

Bantuan tunai RM150 secara one off terbabit melibatkan jumlah keseluruhan RM1. 47 juta.

-Deasoka

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|