Jururawat cedera, kereta masuk parit

Jururawat cedera, kereta masuk parit

Penampang: Seorang jururawat terselamat selepas kereta dipandunya terbabas ke dalam parit di Jalan Sugud berhampiran Kampung Maang, di sini, tengah hari, tadi.

Dalam kejadian jam 1.30 tengah hari itu, mangsa berusia 30 tahun dikatakan bergerak dari arah Papar menuju ke tempat kerjanya di Hospital Queen Elizabeth I (HQE I), Kota Kinabalu.

Bagaimanapun, sebaik tiba di lokasi, mangsa yang memandu kereta jenis Nissan Almera dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas ke dalam parit.

Orang awam yang melihat kejadian itu kemudian membantu mengeluarkan mangsa sebelum bertindak menghubungi pasukan bomba.

Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penampang, Jamaludin Hussin berkata, sebaik menerima panggilan kecemasan 1.48 tengah hari, sebuah jentera dan van Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMRS), dengan kekuatan tujuh anggota dikejarkan ke lokasi.

“Sebaik tiba di lokasi, mangsa yang dikeluarkan oleh orang awam kemudian diberi rawatan awal oleh pasukan EMRS.

“Mangsa yang cedera kemudian dihantar ke HQE I Kota Kinabalu, untuk rawatan lanjut,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, operasi tamat sepenuhnya pada 2.11 petang.

– Deasoka

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|