Kuala Penyu: Kerajaan sudah merangka dasar dan pelan persiapan untuk menjadi sebuah negara warga tua berikutan unjuran Malaysia bakal memiliki ramai penduduk berumur 60 tahun ke atas menjelang 2030.
Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Shahelmey Yahya, berkata persiapan itu bagi memastikan kesejahteraan dan pembangunan warga emas tidak diabaikan.
“Mengikut unjuran, Malaysia akan mencapai taraf negara warga tua yang mana 15 peratus daripada jumlah penduduknya akan mencapai umur 60 tahun ke atas menjelang 2030.
“Sebagai persediaan ke arah itu, kerajaan mengambil langkah merangka dasar-dasar untuk mensejahterakan warga emas.
“Ia termasuklah menubuhkan Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) dan persatuan-persatuan berkaitan warga emas,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyampaikan sijil penghargaan PAWE paling aktif di Malaysia Tahun 2021 kepada PAWE Kuala Penyu, di sini, hari ini.
Turut hadir ialah Pengarah Yayasan Kebajikan Sabah, Dayang Rugayah Awang Besar; Pegawai Daerah Kuala Penyu, Sebastian Ingkim; Ketua Penolong Pengarah Bahagian OKU dan Warga Emas Jabatan Kebajikan Masyarakat Sabah, Zulkiflie Hassan dan Pengerusi PAWE Kuala Penyu, Winnie.
Shahelmey berkata, PAWE adalah satu pusat yang baik agar warga emas dapat melakukan aktiviti bagi mengisi masa lapang.
“Selepas bersara pada umur 60 tahun, warga emas perlu membuat aktiviti yang baik, sihat dan efektif bagi menjaga kesihatan fizikal dan mental mereka.
“Kita berharap aktiviti yang mereka jalankan dapat diteruskan agar semua warga emas dapat mengisi masa lapang dengan pelbagai aktiviti,” katanya.
PAWE adalah sebuah pusat yang menggalakkan aktiviti seperti program keagamaan, kraftangan, rekreasi, terapi dan pemulihan, ceramah kesihatan serta beberapa lagi aktiviti yang membabitkan warga emas.
PAWE Kuala Penyu adalah antara lima daripada 143 PAWE yang aktif di Malaysia dan mendapat johan serta naib johan dalam pertandingan Azan dan Doa serta naib johan dalam pertandingan Tilawah Al-Quran peringkat negeri Sabah dan Program Kalam Jaddi peringkat kebangsaan tahun ini.
-Deasoka