Beli tisu tandas pun kena mohon Ketua Setiausaha Negara – Madius

Beli tisu tandas pun kena mohon Ketua Setiausaha Negara – Madius

Kota Kinabalu: Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Madius Tangau mendakwa Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak tidak menerima peruntukan khusus melalui bajet kerajaan Pusat hingga terpaksa memohon daripada Ketua Setiausaha Negara.

Beliau mendakwa semua perbelanjaan untuk kegunaan Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak termasuk untuk membeli barangan kecil seperti tisu tandas perlu melalui permohonan berkenaan.

Katanya, situasi itu tidak wajar memandangkan status Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak dinyatakan dengan jelas sebagai antara dua mahkamah tinggi penyelaras hal kehakiman dan perundangan di negara ini selain Mahkamah Tinggi Malaya dalam Fasal 121 (1)(a)(b) Perlembagaan Persekutuan.

“Namun, daripada segi bajetnya dengan jelas pada Maksud Tanggungan 8 dan juga dalam hal Pengurusan Kehakiman dan Perundangan, dinyatakan bahawa tiada bajet khusus untuk Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak.

“Sebab itu saban tahun Hakim Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak terpaksa memohon peruntukan kepada Ketua Setiausaha Negara untuk apa juga bentuk perbelanjaan bagi tujuan pembelian termasuk sekecil-kecil barang seperti tisu tandas,” katanya ketika membahaskan Bajet 2022 di Dewan Rakyat, hari ini.

Berikutan itu, beliau meminta supaya Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak diberikan bajet tahunan untuk mengurus dan perolehan.

Presiden Pertubuhan Progresif Kinabalu Bersatu (UPKO) itu berkata sudah tiba masanya untuk memperbetulkan kecelaruan seperti itu demi membina negara Malaysia yang berasaskan semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Biarlah ‘equal partner’ ini dapat dipraktikkan kepada Mahkamah Tinggi dengan memberi bajet tahunan yang sewajarnya kepada Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak.

“Pada masa yang sama, kuasa Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negara Sabah seperti mana yang termaktub dalam versi asal Perlembagaan Persekutuan juga hendaklah dikembalikan,” katanya.

Madius turut menekankan bahawa Sabah dan Sarawak sangat memerlukan dana yang besar untuk menyelesaikan masalah pembangunan yang sangat asas.

“Lihatlah, walaupun Malaysia sudah berumur 58 tahun, namun masih banyak keperluan asas di Sabah dan Sarawak yang belum dipenuhi. Suara kita tidak dipedulikan,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|