Siap sedia hadapi sebarang kemungkinan ancaman penceroboh

Siap sedia hadapi sebarang kemungkinan ancaman penceroboh

Kuala Lumpur: Polis Diraja Malaysia (PDRM) memandang serius dan akan mengambil tindakan segera bagi meningkatkan kesiapsiagaan ke tahap tertinggi di Sabah untuk menghadapi sebarang kemungkinan ancaman pencerobohan.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, pihaknya mengambil maklum laporan media bahawa terdapat pihak dari Filipina sedang merancang untuk menceroboh Sabah.


Kenyataan media yang dikeluarkan oleh PDRM Bukit Aman, hari ini.

Katanya, komitmen dalam perkara itu akan diutamakan demi mengelak sebarang insiden pencerobohan berulang di Sabah.

“PDRM turut mempunyai hubungan baik dengan pihak berkuasa Filipina dalam aspek perkongsian maklumat risikan mengenai sebarang aktiviti yang boleh mengancam hubungan akrab serta keselamatan kedua-dua negara.

“Setakat ini, tiada pengesahan diterima mengenai pelan yang dimaksudkan dan ianya dipercayai merupakan maklumat yang telah dimanipulasi oleh pihak-pihak yang mencemburui tahap keselamatan serta hubungan rapat antara Sabah dengan Wilayah Selatan Filipina,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, PDRM memberi jaminan bahawa tahap keselamatan di Sabah adalah terkawal.

Selain itu, katanya elemen-elemen PDRM sentiasa dalam keadaan siap siaga setiap masa untuk menangani sebarang ancaman.

“Usaha juga akan digiatkan bagi mengesan dan mengenal pasti anasir-anasir di Sabah yang berkemungkinan terlibat dalam komplot berkenaan.

“Sebarang usaha untuk menggugat keselamatan dan kedaulatan negara oleh mana-mana pihak akan diambil tindakan tegas,” jelasnya.

Hari ini, sebuah akhbar tempatan melaporkan wujudnya plot untuk menyerang Sabah dengan 600 pejuang membabitkan usaha dan persetujuan ’19 datuk bandar’ dari selatan Filipina timbul menerusi laporan sebuah akhbar luar negara ‘South China Morning Post’.

Malah laporan berkenaan turut mendakwa pertemuan berkenaan diatur pegawai kanan kerajaan tempatan di selatan Filipina.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|