SESB pastikan pengguna terima diskaun PEMULIH

SESB pastikan pengguna terima diskaun PEMULIH

Kota Kinabalu: Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) akan memastikan pengguna menerima diskaun bil elektrik sepertimana yang diumumkan kerajaan.

Lanjutan daripada pengumuman itu, SESB akan memberikan diskaun bil elektrik kepada kumpulan sasar berdasarkan jumlah penggunaan elektrik bulanan bagi tempoh 1 Julai hingga 30 September depan.

Pengurus Besar Kanan (Pengurusan Aset) Ir Idris Mohd Noor berkata, kerja-kerja konfigurasi terhadap sistem pembilan SESB sedang dilaksanakan bermula awal Julai ini bagi merekod masuk diskaun mengikut Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH).

Katanya, disebabkan keputusan itu, pengguna SESB juga akan menerima bil elektrik lewat untuk bulan Julai ini.

“SESB menghentikan bacaan meter di tapak bagi mengemaskini sistem pembilan untuk memastikan diskaun berkenaan dapat diberikan kepada semua pengguna.

“SESB sentiasa berusaha untuk memastikan pelaksanaan diskaun PEMULIH ini berjalan dengan lancar,” katanya dalam satu
kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, akaun pengguna akan dibilkan secara anggaran di dalam sistem berdasarkan amaun bil pada bulan sebelumnya dan akan diselaraskan apabila bacaan sebenar dilaksanakan penghujung Julai ini.

Sehubungan itu, Idris berkata, pengguna dinasihatkan untuk mendaftar ke Online Customer Services (OCS) SESB bagi mendapat semakan bil.

“SESB juga menyarankan pengguna untuk mengemaskini maklumat data pengguna bagi memudahkan informasi terkini mengenai perkhidmatan SESB disalurkan termasuk perkhidmatan menerima pesanan ringkas (SMS) berkaitan maklumat bil,” katanya.

– Deasoka

Tamat

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|