Aktiviti berkumpul, keagamaan punca Covid-19 meningkat di Sipitang

Aktiviti berkumpul, keagamaan punca Covid-19 meningkat di Sipitang

Sipitang: Peningkatan mendadak penularan kes positif Covid-19 membabitkan beberapa kampung di kawasan Mukim Melamam, di sini, dipercayai akibat aktiviti keagamaan.

Ketua Polis Daerah Sipitang, Deputi Superintendan Champin Piuh berkata, siasatan awal mendapati ia disebabkan tindakan beberapa individu tidak bertanggungjawab yang mengadakan aktiviti berkumpul dan keagamaan di kawasan berkenaan.

Katanya, perbuatan mereka itu bertentangan dengan arahan kerajaan mengikut Akta 342 dan siasatan lanjut sudah dijalankan.

Ketua Polis Daerah Sipitang, Deputi Superintendan Champin Piuh

“Berikutan aktiviti keagamaan itu, orang ramai tampil membuat satu laporan polis kerana tidak berpuas hati dan mohon pihak polis menjalankan siasatan serta tindakan undang-undang.

“Siasatan polis sudah mengenalpasti individu yang terbabit dan setakat ini mereka bersama ahli keluarga yang sedang dirawat di hospital selepas disahkan positif Covid-19,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Champin berkata, polis akan mengambil keterangan mereka yang dikenalpasti selepas dibenarkan keluar dari hospital.

“Oleh itu, mohon kerjasama kepada individu yang menghadiri aktiviti keagamaan berkenaan supaya tampil ke balai polis memberi keterangan,” katanya.

Sementara itu, Champin berkata, pihak polis turut menerima laporan daripada pihak Pengurusan dan Pentadbiran gereja Kawasan SIB Sipitang.

Katanya, mereka membuat laporan polis bagi menafikan terbabit dalam mengadakan atau menganjurkan sebarang aktiviti keagamaan.

“Pengurusan SIB Sipitang mendakwa mereka akur dengan arahan bertulis dari Pengurusan SIB pusat dan kerajaan untuk tidak mengadakan sebarang aktiviti keagamaan di gereja atau di rumah.

“Penganjuran aktiviti menggunakan nama SIB itu adalah atas kapasiti individu terbabit yang mengadakan aktiviti keagamaan di rumah kediaman mereka sendiri,” katanya.

Sehubungan itu, Champin meminta kerjasama penduduk di daerah ini supaya duduk di rumah masing-masing dalam tempoh berapa hari dalam usaha memutuskan rangkaian virus Covid-19.

– Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|