Seorang maut, tiga cedera

Seorang maut, tiga cedera

Lahad Datu: Seorang maut manakala tiga lagi cedera dalam kejadian kemalangan membabitkan van Toyota Hiace yang bertembung dengan sebuah Proton Saga di Batu 9, Jalan Silam, di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi itu, seorang lelaki pemandu Proton Saga disahkan meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah di kepala dan badan.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 10.01 pagi.

Katanya, sepasukan sembilan anggota dan pegawai dikerah ke lokasi kejadian bersama dua jentera dan van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (ERMS).

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, terdapat empat mangsa membabitkan dua mangsa kanak-kanak perempuan yang dihantar ke Hospital oleh orang awam.

“Manakala seorang mangsa lelaki pula disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan yang hadir di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Menurutnya, seorang mangsa perempuan yang menaiki van Toyota Hiace pula hanya mengalami kecederaan ringan dan diberi rawatan awal pasukan EMRS sebelum diserahkan kepada pihak Ambulan untuk dihantar ke Hospital bagi mendapatkan rawatan lanjut.

Katanya, operasi ditamatkan pada jam 10.39 pagi selepas semua mangsa dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut.

“Kes diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|