Tawau: Seorang lelaki dikhuatiri dibaham buaya selepas hilang ketika berada di sungai di Kampung Serudung Laut, Kalabakan, di sini, semalam.
Kejadian dilaporkan berlaku kira-kira jam 6 petang ketika mangsa dikatakan sedang melakukan aktiviti mandi sungai berkenaan.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 8.19 malam.
Katanya, susulan laporan itu, sepasukan empat anggota Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Kalabakan dikerah ke lokasi kejadian.
“Pasukan PBS bergegas ke lokasi kejadian untuk mendapatkan maklumat namun berdepan kesukaran untuk sampai ke lokasi.
“Pasukan berkenaan menegaskan, ia disebabkan jalan tidak berturap, jarak ke lokasi sangat jauh dan talian telefon tidak jelas,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Menurutnya, usaha mencari mangsa sedang giat dijalankan dan sebarang perkembangan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.
-Deasoka