Kota Kinabalu: Penyanyi yang pernah popular dengan lagu Tanak Kampung atau Anak Kampung bakal kembali memeriahkan industri hiburan tanah air menerusi sebuah lagu baharu rentak Sabah yang akan dilancarkan tidak lama lagi.
Lagu catchy dengan rentak Sumazau dan Pop Rock itu juga bakal menjadikan Jimmy Palikat seorang ‘hero’ dan dengan bangga menyebut ‘Saya Mau Jadi Hero’ memandangkan itulah judul lagu baharu yang beliau nyanyikan itu.
Namun, sedikit berbeza kali ini, Jimmy menyanyikan lagu ciptaan dan gubahan orang lain berbanding lagu ciptaan sendiri seperti Tanak Kampung dan beberapa lagi lagu lain termasuk ‘Auss’ yang diterbitkan tahun lalu.
Lagu ‘Saya Mau Jadi Hero’ dicipta sepenuhnya oleh komposer dan penulis lirik yang tidak asing lagi dalam kalangan penggiat industri muzik tempatan, Rafiqa Roslee atau nama sebenarnya, Roslee Wahid.
Roslee yang biasanya sebelum ini hanya mencipta karya muziknya kepada seorang penyanyi tetap kini mengorak langkah baharu dan lebih agresif dengan mula mencipta lagu baharu untuk artis Sabah yang lain dan yang terbaharu bergandingan bersama Jimmy.
Orkestra ASTiF, Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang dipimpin oleh komposer Rafiqa Roslee bakal mengiringi persembahan Jimmy Palikat dan artis lain pada Konsert ROK (Rhythm of Kinabalu) anjuran Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Sabah yang akan disiarkan secara langsung melalui laman Facebook JKKN TV pada 23 Oktober ini.
Berkongsi lanjut mengenai penghasilan lagu ‘Saya Mau Jadi Hero’ yang berentak rancak itu, Roslee berkata, proses rakaman lagu berkenaan selesai pada pertengahan tahun ini tetapi belum dilancarkan kerana menunggu masa yang sesuai.
“Sebaik saja selesai proses rakaman pada pertengahan tahun ini, lagu ‘Saya Mau Jadi Hero’ ini disimpan sementara bagi menunggu masa dan ketika yang sesuai untuk dilancarkan.
“Akhirnya pada 23 Oktober 2021 ini akan menjadi tarikh keramat kerana lagu ini bakal dipersembahkan buat julung kalinya pada Konsert ROK (Rhythm of Kinabalu) anjuran Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Sabah,” katanya.
Konsert secara maya itu nanti turut menampilkan artis terkenal Sabah seperti Francis Landong, Dyana dan Fauziah Gambus serta penampilan istimewa Orkestra ASTiF, Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang dipimpin sendiri oleh Roslee selaku konduktor.
Roslee yang juga pensyarah seni muzik Program Muzik UMS, berkata beliau dan Jimmy sangat bertuah dan bersyukur apabila lagu ‘Saya Mau Jadi Hero’ dipilih untuk menjadi antara lagu Sabah style yang bakal dipersembahakan dalam bentuk gubahan baharu bersama orkestra.
Konsert yang akan dipersembahkan secara langsung melalui laman Facebook JKKN TV itu juga bakal menampilkan lagu-lagu pelbagai suku kaum dan alat muzik etnik Sabah.
Roslee turut menyatakan harapannya agar lagu ‘Saya Mau Jadi Hero’ ciptaannya mampu melakar nama dan kekal menjadi sebutan peminat lagu berentak Sabah sama seperti lagu Anak Kampung yang masih ‘panas’ hingga ke hari ini walaupun sudah berkumandang lebih 10 tahun.
Sementara itu, Jimmy menyifatkan lagu baharu yang dinyanyikannya itu sebagai sangat istimewa kerana sesuai dengan jiwanya yang sinonim dengan lagu berentak rancak.
“Saya memang biasanya hanya bikin ‘single’ lagu yang saya cipta dan tulis liriknya tetapi apabila saya diberikan penghormatan untuk mendengar lagu ‘Saya Mau Jadi Hero’ ini terus saya jatuh hati dan ingin diberi peluang untuk menyanyikannya.
“Saya memang sinonim sudah dengan lagu yang rentak dan ‘style’ begini, jadi saya boleh bayangkan membuat persembahan dan menyanyikan lagu ni. Liriknya pun sungguh menarik dan berunsur kekeluargaan serta nasihat.
“Jadi, saya memang bersyukur sangat dapat bekerjasama dengan Roslee sehingga lagu ini siap sepenuhnya. Saya juga meletakkan harapan yang tinggi agar lagu ini mendapat sambutan yang baik peminat lagu berentak Sabah di seluruh negara,” katanya.
Jimmy turut meluahkan perasaan gembira kerana pertama kali membuat persembahan bersama orkestra dengan membawakan lagu ‘Saya Mau Jadi Hero’ pada konsert secara maya ROK anjuran JKKN itu nanti.
-Deasoka