Semporna, Kunak, Kalabakan kini zon kuning

Semporna, Kunak, Kalabakan kini zon kuning

Kota Kinabalu: Daerah Semporna berpindah ke zon kuning Covid-19 selepas mencatat sifar kes baharu semalam, menjadikan tiga daerah kini berada dalam zon berkenaan di Sabah.

Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata daerah Tongod pula kembali ke zon jingga semalam selepas berpindah ke zon merah, kelmarin.

“Semporna berubah daripada zon jingga ke zon kuning manakala Tongod berubah daripada zon merah ke zon jingga.

“Secara keseluruhan sebanyak tiga daerah berada dalam zon kuning, dua daerah dalam zon jingga dan 22 daerah masih dalam zon merah,” katanya dalam kenyataan media, malam tadi.

Berdasarkan statistik semalam, daerah Kunak mencatat tiga kes baharu COVID-19, manakala masing-masing dua kes baharu di Kalabakan dan Nabawan, selain sifar kes di Tongod dan Semporna.

Dalam pada itu, sebanyak tiga kes kematian dilaporkan di Sabah semalam iaitu masing-masing satu kes di Penampang, Kota Kinabalu dan Beaufort.

Masidi berkata, seramai 400 pesakit COVID-19 pula dilaporkan sembuh semalam, manakala seramai 1,688 pesakit masih menerima rawatan di hospital dan Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC).

Secara keseluruhan Sabah mencatat peningkatan kes baharu COVID-19 kepada 599 kes semalam, berbanding 487 kes yang dilaporkan kelmarin.

Katanya, sebanyak 16 daerah mencatat peningkatan kes, manakala sembilan daerah dilapor mencatat penurunan kes.

“Daerah Kota Kinabalu kembali menjadi penyumbang terbesar kes di negeri Sabah dengan 101 kes, iaitu meningkat sebanyak 45 kes berbanding 56 kes semalam (kelmarin).

“Daerah Tuaran juga mencatatkan kes yang tinggi iaitu 95 kes, bertambah 36 kes berbanding 59 kes semalam (kelmarin),” katanya.

Bagaimanapun, katanya kebanyakan kes di beberapa daerah adalah yang didaftar lewat melebihi dua hari dengan daerah Kota Kinabalu mencatat jumlah tertinggi sebanyak 89 kes lewat didaftar.

Katanya, kes didaftar lewat juga dilaporkan tinggi di Kota Belud iaitu 28 kes daripada 53 kes keseluruhan semalam, diikuti Penampang dengan 27 les lewat daripada 35 kes yang direkodkan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|