Sekolah di Sabah tetap cuti sempena Kaamatan 2022

Sekolah di Sabah tetap cuti sempena Kaamatan 2022

Kota Kinabalu: Sekolah di Sabah tetap bercuti pada 30 dan 31 Mei tahun depan sempena cuti umum Tadau Kaamatan walaupun takwim persekolahan 2022 menyatakan tarikh berkenaan berada dalam hari persekolahan.

Pengarah Jabatan Pendidikan Sabah, Datuk Dr Mistirine Radin, berkata ini kerana tarikh itu sudah digazetkan sebagai cuti kelepasan am oleh kerajaan negeri.

Katanya, sekolah di negeri ini tetap tertakluk terhadap ketetapan berkenaan dan oleh itu sekolah di Sabah tetap bercuti pada 30 dan 31 Mei 2022 seperti sebelum ini.

“Saya mendapat pertanyaan daripada pengetua dan guru besar berkaitan takwim persekolahan 2022 khususnya tarikh 31 Mei sebagai hari persekolahan.

“Sila maklum bahawa cuti kelepasan am negeri tidak diambil kira dalam pengiraan hari persekolahan dalam takwim persekolahan Kementerian Pendidikan sejak dahulu lagi.

“Bukan Sabah saja, negeri lain pun begitu. Ini kerana pada 30 dan 31 Mei 2022, Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan bercuti tetapi di negeri lain, tarikh itu adalah hari bekerja,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Mistirine memberi penjelasan mengenai kekeliruan takwim persekolahan tahun depan dikeluarkan Kementerian Pendidikan baru-baru ini yang menyatakan tarikh 30 dan 31 Mei berada dalam hari persekolahan.

Mistirine berkata sekolah di Sabah akan bercuti pada 30 dan 31 Mei 2022 selagi digazet sebagai cuti umum oleh kerajaan negeri Sabah.

“Perkara ini adalah baharu bagi kita kerana selama ini, tarikh 30 dan 31 Mei berada dalam tempoh Cuti Persekolahan Pertengahan Tahun,” katanya.

Tarikh 30 dan 31 Mei 2022 jatuh pada hari Isnin dan Selasa.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|