JPKK, JKDB perlu siapkan profail kampung

JPKK, JKDB perlu siapkan profail kampung

Sipitang: Pemimpin akar umbi khususnya Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) dan Jawatankuasa Kemajuan Dalam Bandar (JKDB) di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sindumin diingatkan agar menyiapkan profail kampung masing-masing.

Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) DUN Sindumin, Sani Miasin, berkata profail yang lengkap untuk sesebuah kampung penting bagi memudahkan JPKK mentadbir urus kampung masing-masing dengan berkesan.

Katanya, profail kampung bukan saja mempunyai data mengenai jumlah penduduk, jumlah dan jenis rumah, maklumat komuniti, ketua isi rumah, fasiliti kerajaan, kemudahan asas yang ada, punca pendapatan penduduk kampung dan lain-lain.

“JPKK dan JKDB juga perlu membuat bancian status vaksinasi di setiap lokaliti atau kampung yang merangkumi penduduk yang layak untuk vaksinasi iaitu berumur 12 tahun ke atas dan lain-lain”, katanya.

Beliau berkata demikian pada siri jelajah akhir Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) ke mukim dalam kawasan DUN Sindumin di Kampung Tanjung Pagar, di sini, hari ini.

Turut hadir ialah Ketua Daerah (KD) Sipitang, OKK Daud Kassim; Pegawai Pembangunan Masyarakat (CDO) Sindumin, William Kapong; Pengerusi dan Setiausaha JPKK serta kakitangan UPPM Sindumin.

Sani berkata, data vaksinasi kampung amat penting bagi memudahkan pihak berkuasa mengenal pasti jumlah penduduk kampung yang belum divaksinasi.

Katanya, JPKK dan JKDB bersama biro-bironya juga perlu bersama-sama pihak berkuasa menangani masalah penyalahgunaan dadah yang berlaku di kampung masing-masing.

Menurutnya, JPKK dan JKDB perlu melaporkan kes penyalahgunaan dadah kepada pihak polis agar tindakan susulan dapat diambil bagi menangani masalah najis dadah di kampung-kampung.

Sani berkata, masalah penyalahgunaan dadah di kawasan DUN Sindumin dan Sipitang semakin ketara apabila pihak polis berjaya membuat beberapa tangkapan yang melibatkan penduduk setempat.

“Bagi mengelak masalah itu bertambah serius, pemimpin akar umbi bersama-sama masyarakat kampung perlu pro-aktif menangani masalah penyalahgunaan dadah,” katanya.

Beliau juga meminta JPKK dan JKDB serta Ketua-Ketua Kampung sentiasa turun padang bagi meninjau masalah yang dihadapi oleh rakyat selaras dengan amanah kerajaan negeri Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|