Masalah air UUC, penghuni mohon selesaikan segera

Masalah air UUC, penghuni mohon selesaikan segera

Kota Kinabalu: Isu bekalan air yang dilaporkan berlaku di University Utama Condominium (UUC), Telipok, di sini, sehingga menyebabkan penduduk mengamuk dan tular di media sosial akhirnya terjawab, hari ini.

Apa yang jelas, masalah bekalan air berpunca daripada kerosakan pam air selain bekalan air tidak mencukupi di Loji Rawatan Air Telibong.

Seorang penduduk Rina berkata, masalah itu sudah berlarutan sejak enam bulan lalu sehingga menyukarkan kehidupan seharian mereka.

Katanya, ia semakin melarat apabila bekalan air terus terputus sejak seminggu lalu sehingga mereka terpaksa mengangkat air naik ke rumah setinggi empat tingkat.

“Walaupun air kini dibekalkan secara catuan, namun ia bukanlah penyelesaian yang diperlukan kerana ia bukan saja tidak mencukupi tetapi jadual catuan air yang tidak menentu.

“Malah, kami juga terpaksa mengangkat air sendiri bagi memastikan keperluan keluarga masing-masing terjaga,” katanya ketika ditemui di UUC, hari ini.

Menurutnya, masalah itu lebih teruk bagi dirinya kerana mempunyai ahli keluarga yang sedang sarat mengandung dan menunggu masa melahirkan anak.

“Mandi pun terpaksa menggunakan sedikit air, inikan pula kebersihan lain untuk masak atau cuci pakaian. Kami benar-benar tertekan dengan keadaan ini,” katanya.

Seorang penduduk Ruby berkata, pihaknya berharap masalah bekalan air ini dapat diselesaikan secepat mungkin.

Katanya, dia faham masalah air disebabkan oleh kerosakan di loji Telibong, tetapi pihak pengurusan seharusnya mencari jalan penyelesaian terhadap masalah itu.

“Kamu mahu ‘explain’ pasal loji ini pam pecah, pam meletup atau kena nuklear, saya tidak tahu. Kami bukan jurutera.

“Kami sebagai penghuni membayar bil, kami mahu rumah kami ada bekalan air,” katanya.

Sementara itu seorang wakil penduduk, Selina, 35, berkata, masalah itu akhirnya dapat dikenalpasti selepas satu perbincangan diadakan antara penduduk bersama pihak pengurusan perumahan dan Jabatan Air Negeri Sabah (JANS).

Katanya, sebelum ini, kebanyakan penduduk tersalah faham dan mengganggap kegagalan bekalan air di perumahan berkenaan adalah disebabkan oleh kelemahan pengurusan.

“Malah, ada dakwaan yang mengatakan ketiadaan bekalan air itu adalah disebabkan pihak pengurusan perumahan ini berhutang dengan JANS sehingga bekalan dipotong.

“Namun hari ini, dalam pertemuan dengan pengarah dan jurutera JANS menjelaskan, masalah berpunca daripada kerosakan peralatan di loji Telibong.

“JANS juga mengesahkan pihak pengurusan perumahan ini tidak mempunyai sebarang hutang dengan JANS,” katanya.

Menurutnya, penduduk berharap masalah ini dapat diselesaikan sebaiknya dalam tempoh masa secepat yang boleh.

Dalam pada itu, Pengurus Kawasan Hartanah UUC, Patrick Pang berkata, pihaknya sudah berbincang dengan JANS mengenai penyelesaian masalah bekalan air berkenaan.

Katanya, salah satu cadangan adalah membuat lencongan bekalan air daripada saluran University Utama Square (UUS) Telipok, bagi memastikan masalah dapat diselesaikan.

“Pengarah JANS berkata, pihaknya akan menjalankan siasatan dan kajian sama ada tindakan lencongan ini dapat dilakukan atau sebarang penyelesaian lain dapat dilakukan.

“Ini kerana, saya tidak boleh hanya mengharapkan catuan bekalan air dari lori tangki. Kita mahukan penyelesaian sepenuhnya,” katanya.

Patrick berkata, JANS juga berjanji untuk meneruskan penghantaran bekalan air sehingga 24 jam setiap hari yang dijangka mencecah sehingga 30 lori tangki.

Namun katanya, pihaknya mungkin terpaksa mengumpulkan bekalan air sehingga tiga hari sebelum dibekalkan kepada semua penduduk bagi memastikan ianya mencukupi.

“Penyelesaian jangka masa panjang, Loji Rawatan Air Telibong fasa baru perlu disiapkan bagi memastikan bekalan air mencukupi.

“Namun pihak JANS memberitahu, masalah ini dijangka mungkin dapat diselesaikan selewat-lewatnya Julai tahun depan,” katanya.

Patrick berkata, pihaknya berharap, penduduk yang kurang faham mengenai masalah ini supaya tampil dan berbincang secara baik bagi memberi ruang kepada pihak pengurusan untuk menjelaskan segala kekusutan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|