Keindahan alam Sabah pikat pelancong Jepun

Keindahan alam Sabah pikat pelancong Jepun

Kota Kinabalu: Sabah berpotensi untuk memikat pelancong Jepun datang ke negeri ini untuk menikmati keindahan alam semulajadi sebagai tarikan utama.

Perkara itu dimaklumkan Pengarah Urusan Biro Pelancongan Jepun (JBT) Malaysia, Kiyoshi Fujita, dalam lawatan pertamanya ke Sabah yang memuji keindahan negeri ini.

Fujita berkata Sabah adalah antara destinasi tumpuan di Malaysia dalam kalangan orang Jepun dan ramai yang melancong ke negeri ini sebelum pandemik Covid-19.

“Ini adalah lawatan pertama saya ke Sabah dan saya melawat beberapa tempat menarik yang pasti menjadi popular dalam kalangan orang Jepun.

“Saya agak kagum dan saya pasti pelancong Jepun tidak sabar untuk kembali ke Sabah,” katanya.

Selasa lalu, Fujita mengadakan pertemuan dengan Pengerusi Lembaga Pelancongan Sabah (STB), Datuk Joniston Bangkuai, untuk berkongsi pandangannya mengenai potensi negeri ini menarik pelancong Jepun.

Turut hadir ialah Ketua Pegawai Pemasaran STB, Tay Shu Lan.

Dalam perjumpaan itu, Fujita turut menekankan kepentingan mempunyai prosedur operasi standard (SOP) yang ketat dalam industri pelancongan, sambil menyatakan bahawa kerajaan Jepun sangat tegas mengenai perkara itu.

JTB ditubuhkan pada 1912 sebagai agensi pelancongan terbesar di Jepun dan antara agensi pelancongan terbesar di dunia.

Fujita dilantik sebagai Pengarah Urusan JTB untuk Malaysia sejak Februari 2021 dan beliau sudah melawat Melaka, Langkawi dan Kuala Lumpur.

Beliau tiba di Kota Kinabalu pada 13 November lalu untuk lawatan kerja selama empat hari yang mana beliau antara lain melawat Taman Tunku Abdul Rahman, Taman Hidupan Liar Lok Kawi, Taman Kinabalu, Kolam Air Panas Poring, Klias River Cruise, dan pusat peranginan lain.

Sementara itu, Joniston percaya Sabah dan Jepun berkongsi idea yang sama mengenai pelancongan mampan dan ekopelancongan.

Beliau berkata, pelancongan luar bandar boleh menjadi popular dalam kalangan pelancong Jepun, yang mana mereka boleh melakukan aktiviti ‘shinrin-yoku’ atau ‘mandi hutan’, iaitu konsep yang digunakan di Jepun untuk menggalakkan orang ramai meluangkan masa menikmati alam dan udara segar.

“STB sentiasa bekerjasama dengan rakan kongsi kita di Jepun untuk terus mempromosikan Sabah sebagai destinasi pilihan.

“Sudah tentu dengan pembukaan semula sempadan antarabangsa tahun depan, kita tidak sabar untuk mengalu-alukan kedatangan kembali pelancong dari negara Jepun,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|