Sembilan Pasukan Bomba Komuniti ditubuhkan dengan kerjasama PETRONAS

Sembilan Pasukan Bomba Komuniti ditubuhkan dengan kerjasama PETRONAS

Papar: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah menubuhkan sembilan Pasukan Bomba Komuniti membabitkan 170 ahli ditubuhkan dengan kerjasama Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS).

Pengarah JBPM, Md Ali Ismail berkata, jumlah terbaru itu menjadikan jumlah Pasukan Bomba Komuniti seluruh negeri kini mencecah sebanyak 411 pasukan bagi tempoh 2014 sehingga tahun ini.

Katanya, jumlah keseluruhan itu membabitkan seramai 6065 peserta iaitu 4,829 adalah lelaki dan 1,236 wanita.

“Sembilan pasukan Bomba Komuniti ini berjaya ditubuhkan sepanjang program yang diadakan sejak 27 Oktober sehingga 5 November lalu.

“Semua pasukan kominiti ini membabitkan empat daerah iaitu, Tuaran, Papar, Beaufort dan Sipitang,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa Majlis Penutupan dan Pentauliahan Pasukan Bomba Komuniti (CERT) di Ulu Kimanis Papar di sini.

Turut hadir Timbalan Pengarah JBPM Sabah Farhan Sufyan Borhan, Ketua PETRONAS Sabah dan Labuan Siti Ayu Haniza Wahab dan Pegawai Daerah Papar Hadzlan Jablee.

Md Ali berkata, setiap ahli Bomba Komuniti yang ditauliahkan ini berjaya menamatkan modul latihan selama lapan jam yang ditetapkan oleh JBPM merangkumi latihan teori dan praktikal.

Katanya, tiga objektif dan misi utama program diadakan adalah bagi memfokuskan perihal Afektif.

“Ia adalah bagi memastikan masyarakat dapat menimba sebanyak mungkin ilmu kebombaan dan Penyelamat yang disampaikan oleh JBPM dan PETRONAS.

“Kita juga menumpukan perihal Kognitif iaitu bagi meningkatkan kredibiliti dan keyakinan dalam menghadapi sebarang kemerbahayaan kebakaran,” katanya.

Md Ali berkata, ia juga memberi pendedahan kepada ahli mengenai pengetahuan dan kemahiran dalam menghadapi sebarang kecemasan yang tidak dijangka melalui pendedahan secara Psikomotor.

Sehubungan itu, Md Ali berkata, pihaknya amat berterima kasih kepada pihak PETRONAS dalam bersama-sama menjayakan program ini.

Katanya, ia adalah kerjasama kali kedua yang memfokuskan kepada masyarakat dalam meningkatkan ilmu pengetahuan dalam bidang keselamatan kebakaran.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|