Covid-19 Sabah: Daerah Kunak, Kalabakan kini zon kuning

Covid-19 Sabah: Daerah Kunak, Kalabakan kini zon kuning

Kota Kinabalu: Daerah Kunak hari ini berubah ke zon kuning Covid-19, menjadikan dua daerah termasuk Kalabakan berada dalam zon itu di Sabah ketika ini.

Bagaimanapun, daerah Tongod yang sebelum ini berada dalam zon jingga, kembali ke zon merah hari ini, manakala Semporna dan Nabawan kekal dalam zon jingga.

Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata Kunak dan Kalabakan masing-masing mencatat sifar dan satu kes baharu, hari ini.

Katanya, Nabawan dan Semporna pula masing-masing mencatat tiga dan satu kes, manakala Tongod merekodkan peningkatan mendadak sembilan kes berbanding sifar kes semalam.

“Hari ini dua daerah berada dalam zon kuning, manakala dua daerah lagi dalam zon jingga. Sebanyak 23 daerah yang lain pula masih berada dalam zon merah,” katanya.

Semua 27 daerah di Sabah berada dalam zon merah sejak Ogos lalu sebelum Kalabakan daerah pertama keluar dari zon itu pada bulan lalu, diikuti Semporna dan Kunak.

Sabah merekodkan 487 kes baharu hari ini, berkurang 13 kes berbanding 500 kes yang dilaporkan semalam.

Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, berkata lima kes kematian turut dilaporkan hari ini, masing-masing satu kes di Penampang, Sipitang, Tawau, Tenom dan Tuaran.

“Bilangan pesakit Covid-19 yang sembuh hari ini pula ialah 529 orang, termasuk yang discaj dari hospital dan Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC).

“Seramai 1,676 pesakit pula sedang menerima rawatan iaitu 678 orang di hospital, 982 orang di PKRC Awam dan 22 orang di Pusat Tahanan Sementara (PTS) atau penjara.

“Bilangan pesakit yang memerlukan penjagaan kritikal ialah 78 orang merangkumi 72 orang di ICU/repurposed kritikal care enam orang di open ward (HDW/kubikel akut), manakala 24 orang lagi memerlukan alat bantuan pernafasan (ventilated),” katanya.

Katanya, seramai 71 orang atau 34.63 peratus yang berada dalam Kategori 4 dan Kategori 5 jangkitan Covid-19 di Sabah terdiri daripada mereka yang belum lengkap vaksin.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|