38 individu dikompaun buang puntung rokok, sampah

38 individu dikompaun buang puntung rokok, sampah

Kota Kinabalu: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) mengeluarkan 38 kompaun terhadap individu yang dikesan membuang puntung rokok dan sampah-sarap di tempat awam sekitar bandar raya ini.

Datuk Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK), Datuk Noorliza Awang Alip berkata, kompaun itu dikeluarkan dalam operasi Ops Bersih sekitar daerah ini bermula 8 hingga 14 November lalu.

Katanya, semua pesalah yang dikenakan kompaun itu perlu membuat pembayaran serta-merta pada hari yang sama kompaun dikeluarkan.

“DBKK menjalankan Ops Bersih melalui anggota Unit Kawal Selia Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal (JPSP) bermula jam 9 pagi hingga 9 malam.

“Ops Bersih ini dilaksanakan bertujuan untuk memberi kesedaran kepada orang awam agar tidak membuang puntung rokok merata-rata selain mendidik mereka untuk lebih bertanggungjawab bersama-sama DBKK menjaga kebersihan bandaraya,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Noorliza berkata, seramai 13 anggota JPSP terbabit menjalankan Ops Bersih bagi menguatkuasakan Undang-Undang Kecil (UUK) Anti Sampah Sarap 1984 Bandaraya Kota Kinabalu Pindaan 2005.

Katanya, mengikut peruntukkan UUK, individu yang membuang puntung rokok atau bahan buangan boleh dikenakan kompaun dengan denda minimum bermula RM20.

“Setiap pesalah perlu membayar kompaun serta-merta dan denda maksimum itu boleh mencecah RM500.

“Tindakan seumpama itu akan diteruskan dari semasa ke semasa dan orang awam diingatkan untuk sama-sama bertanggungjawab dalam memelihara kebersihan persekitaran bandaraya ini,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|