Semangat sebenar penubuhan Malaysia berjaya dikembalikan

Semangat sebenar penubuhan Malaysia berjaya dikembalikan

Kota Kinabalu: Semangat sebenar penubuhan Malaysia pada 16 September 1963 berjaya dikembalikan dengan lulusnya Rang Undang-Undang (RUU) pindaan Perlembagaan Persekutuan selaras dengan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) di Dewan Rakyat, semalam.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar, berkata kelulusan pindaan itu sekali gus mengembalikan hak dan kedudukan pribumi penduduk Sabah serta Sarawak di negara ini.

“Alhamdulillah, hari ini (semalam) menjadi detik bersejarah apabila RUU bagi meminda beberapa peruntukan Perlembagaan Malaysia selaras dengan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) telah mendapat sokongan dua pertiga dan seterusnya diluluskan di Parlimen.

“Pindaan yang diluluskan hari ini (semalam) menggambarkan semangat sebenar penubuhan Malaysia, mengembalikan hak dan kedudukan pribumi penduduk Sabah dan Sarawak di negara ini, selaras dengan semangat Keluarga Malaysia,” katanya dalam perkongsian di laman Facebool beliau.

Wan Junaidi berkata pindaan itu turut melaksanakan hasrat dan tuntutan rakyat Sabah serta Sarawak seperti yang dipersetujui ketika MA63 dimeterai dan Persekutuan Malaysia dibentuk pada 16 September 1963.

“Terima kasih saya ucapkan kepada semua Ahli Parlimen dan pihak-pihak terbabit di atas sokongan yang diberikan selama ini. Syabas buat rakyat Sabah dan Sarawak di atas pengiktirafan yang diberi buat kita hari ini,” katanya.

RUU pindaan Perlembagaan Persekutuan bagi mengembalikan kedudukan Sabah dan Sarawak sebagai rakan setara berdasarkan MA63 itu diluluskan selepas mendapat sokongan majoriti dua pertiga Ahli Parlimen pada Persidangan Dewan Rakyat, semalam.

Keputusan berkenaan diumumkan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun selepas seledai undi belah bahagi pada bacaan kali kedua dan ketiga, seperti ditetapkan Perkara 159 Perlembagaan.

Pada bacaan kedua, RUU berkenaan mendapat 200 undi, manakala tiada ahli yang tidak bersetuju dan 20 Ahli Parlimen tidak hadir, manakala bacaan kali ketiga pula menyaksikan sebanyak 199 undi menyokong, manakala tiada ahli yang tidak bersetuju dan 21 Ahli Parlimen tidak hadir.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|